Levi pelepasan tetap berkuatkuasa 1 Sept

Penumpang yang terbang ke luar negara perlu membayar levi pelepasan antara RM8 dan RM150.

GEORGE TOWN: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan memutuskan levi pelepasan akan dikekalkan dan kutipannya akan bermula 1 Sept ini.

“Kabinet telah memutuskan,” katanya pada sidang akhbar di terminal bas Rapid di Weld Quay hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang meneliti levi pelepasan dan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang dikutip daripada penumpang yang meninggalkan klia2 menggunakan pengangkutan udara.

Dengan pengumuman terbaru itu, mereka yang terbang ke luar negara perlu membayar levi pelepasan antara RM8 dan RM150.

Pelancong yang menuju ke destinasi Asean menggunakan kelas ekonomi perlu membayar RM8, manakala levi RM50 dikenakan terhadap mereka yang terbang menggunakan kelas perniagaan dan pertama.

Mereka yang terbang ke destinasi bukan Asean akan dikenakan RM20 jika menggunakan kelas ekonomi, manakala mereka yang terbang menggunakan kelas perniagaan dan pertama perlu membayar RM150.

Dalam Bajet 2019, Putrajaya mencadangkan levi pelepasan ke atas semua penumpang pengangkutan udara yang meninggalkan negara itu dari 1 Jun, dengan berkata ia adalah untuk menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan 2019 pada April tetapi penguatkuasaannya ditangguhkan dari 1 Jun hingga 1 Sept.

PSC sebaliknya dikenakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad sejak Julai tahun lepas.

Pengendali lapangan terbang terbesar negara itu mengenakan caj RM73 ke atas mereka yang meninggalkan klia2 ke destinasi bukan Asean. Sebelum ini RM50.

Kadar RM73 adalah sama dengan PSC yang dikenakan bagi mereka yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).