Tak adil kaitkan minyak sawit dengan kemusnahan hutan, kata PM

Dr Mahathir Mohamad melawat Pameran Hutan Kita di Menara KL hari ini sambil ditemani Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar (kiri).

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaaan pengkritik yang mengaitkan kemusnahan hutan di Malaysia dengan minyak sawit dengan menyifatkannya “tidak berasas, tidak adil dan tidak wajar”.

“Isu kemusnahan hutan dikaitkan dengan penanaman minyak sawit sentiasa diperjuangkan pengkritik kita,” katanya pada majlis perasmian Pameran Hutan Kita di Menara KL hari ini.

Beliau turut menepis dakwaan negara mendahulukan keperluan pembangunan berbanding hutannya.

“Tuduhan ini membawa impak negatif kepada Malaysia yang sangat bergantung kepada industri minyak sawit untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat kita bagi membantu kita mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).”

Terdahulu, Mahathir dalam ucapannya berkata, Malaysia membangunkan industri kelapa sawit secara mampan dan bertanggungjawab dengan mematuhi semua peraturan.

“Langkah-langkah itu bagi memastikan industri ini (kelapa sawit) tidak menyebabkan kemusnahan alam sekitar serta mengelakkan amalan tidak lestari seperti pemusnahan hutan dan habitat hidupan liar.

“Industri minyak sawit Malaysia kini fokus untuk meningkatkan produktiviti dan hasil, bukannya memperluaskan tanah bagi mengelakkan pembasmian hutan dan penerokaan tanah secara langsung atau tidak langsung.”

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan akan meminda Akta Perhutanan Negara pada tahun depan.

“Paling awal mungkin berlaku pada Mac tahun depan.”