MAHB lapor polis gangguan sistem di KLIA

MAHB lapor polis gangguan sistem di KLIA

Polis berkata, seorang pengurus kanan bahagian teknologi maklumat MAHB membuat laporan polis hari ini, tetapi tiada bukti diserahkan.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA sejak Rabu lalu disebabkan perbuatan berniat jahat. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membuat satu laporan polis berhubung gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Zulkifli Adamsah mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus kanan bahagian teknologi maklumat MAHB hari ini.

“Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataan semalam tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA mulai Rabu lalu disebabkan perbuatan berniat jahat.

Jumaat lalu, MAHB dilaporkan berkata kegagalan rangkaian dikenal pasti sebagai punca gangguan sistem di KLIA dan ia mengambil langkah untuk menggantikan peralatan rangkaiannya.

Gangguan sistem itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Zulkifli berkata, tiada bukti diserahkan kepada polis semasa laporan itu dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.