Wakil rakyat beri tempoh sebulan selesai bayaran bas Orang Asli

Wakil rakyat beri tempoh sebulan selesai bayaran bas Orang Asli

Sekiranya tidak diselesaikan, Ramli Mohd Nor akan membawa isu bayaran pengusaha bas sekolah Orang Asli ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Cameron Highlands beri tempoh sebulan untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) selesaikan bayaran kepada pengusaha bas sekolah Orang Asli, yang dikatakan hendak memberhentikan perkhidmatan kerana tidak menerima bayaran sehingga 5 bulan.

Ramli Mohd Nor berkata perkara itu akan dibawa ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang sekiranya ia tidak diselesaikan dalam tempoh itu.

“Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku kerana Orang Asli antara masyarakat yang susah. Saya akan pantau dan periksa dengan operator bas sama ada Jakoa sudah membuat pembayaran atau belum,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Ramli menerima aduan kelewatan bayaran menyebabkan pengusaha bas sekolah sukar menjalankan perkhidmatan kerana kekurangan modal untuk menampung kos kenderaan yang digunakan bagi menghantar anak-anak Orang Asli ke sekolah.

Beliau bimbang anak-anak Orang Asli di Cameron Highlands dan seluruh negara tidak ke sekolah sekiranya perkhidmatan bas sekolah dihentikan kerana Jakoa dan Jabatan Perdana Menteri gagal membuat bayaran upah mengangkut.

Semalam, Ketua Pengarah Juli Edo berkata Jakoa sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan untuk membuat bayaran kepada pengusaha bas sekolah.

Ramli berkata sekiranya perkara ini berulang, rakyat boleh menilai sendiri sama ada kerajaan sekarang membela nasib Orang Asli.

“Janji nak bantu Orang Asli, jadi siapa yang mungkir janji?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.