
Isu perkauman dan perbuatan mempamerkan Jalur Gemilang terbalik kebelakangan ini bukan sahaja perbuatan tidak bermoral, tetapi ia mencerminkan kekeliruan dan ketandusan beberapa kerat rakyat yang tidak pedulikan martabat tanah air.
Pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap isu sensitif ini bagi menyemarakkan emosi perkauman untuk kepentingan politik sendiri.
Apakah perasaan cinta akan tanah air sebegini teruk, selepas lebih 6 dekad negara merdeka?
Rasa cinta pada tanah air sering dikaitkan dengan pemikiran nasionalisme. Pemikiran ini memupuk semua masyarakat untuk bersatu dan meletakkan kepentingan negara di tahap yang tertinggi.
Andreas Wimmer, ahli akademik dalam bidang sosiologi di Universiti Columbia, Amerika Syarikat, berpendapat pemikiran nationalisme terdiri daripada 2 asas.
Pertama, masyarakat yang adil dan saksama berkongsi sejarah dan kepentingan masa hadapan negara, dan bersetuju mentadbir tanah air secara bersama.
Kedua, mereka perlu lakukan asas pertama tadi dengan meletakkan kepentingan negara di tahap yang tinggi.
Kedua-dua asas ini turut menjelaskas pemikiran nasionalisme tidak eksklusif untuk satu pihak. Sebaliknya, ia bersifat inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Perbincangan mengenai pemikiran nasionalisme di Malaysia masih di tahap lama. Majoriti rakyat dan pemimpin mengambil mudah pemikiran ini. Bagi mereka, nasionalisme hanya sejarah dan ia hanya digunakan semasa bulan kebangsaan dan Hari Malaysia.
Kelemahan ini memberi ruang kepada politik perkauman, agama dan kebencian untuk memenuhi jiwa rakyat yang kosong dan mudah dimanipulasi demi agenda tertentu. Kebimbangan ini juga disuarakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau sempena Hari Kebangsaan ke-62.
Nasionalisme baru
Mengembalikan semangat nasionalisme merupakan satu “penawar” kepada permasalahan ketegangan kaum dan agama di Malaysia. Sempena Hari Kebangsaan ke-62 dan menjelang Hari Malaysia, kita perlu mengambil peluang ini untuk merencana pemikiran nasionalisme dengan “nafas baru”.
Nasionalisme lama ini perlu mengalami fasa perubahan, daripada semangat perjuangan kemerdekaan kepada semangat untuk meningkatkan kemakmuran negara dalam zaman globalisasi dan ekonomi yang begitu mencabar.
Apakah kepentingan semangat nasionalisme baru untuk generasi hari ini?
Pemikiran baru ini dapat membentuk satu kesedaran dan hala tuju kepada generasi baru tentang kepentingan negara, berteraskan cabaran baru, dan mengambil kira kehendak rakyat merentasi perbezaan latar belakang.
Kepentingan negara untuk masa depan menjurus kepada pembangunan ekonomi rakyat dan negara. Meskipun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, namun mereka berkongsi kepentingan yang sama, iaitu kemakmuran ekonomi. Setiap rakyat mahukan kehidupan yang lebih baik dan stabil.
Pembangunan ekonomi negara akan membentuk rakyat harmoni, sejahtera dan bersatu-padu membangunkan maruah negara. Maka, rakyat dan pemimpin harus fokus dan komited untuk meningkatkan ekonomi negara melebihi perkara lain.
Nasionalisme baru juga perlu mengetengahkan pemikiran sederhana sebagai cara hidup rakyat bagi mewujudkan suasana toleransi antara kaum, agama, wilayah dan negeri.
Suara kesederhanaan ini akan menghakis agenda prejudis, perkauman yang kian menebal dalam kalangan generasi hari ini, dan dapat mencegah fahaman ekstremis serta keganasan yang menjadi ancaman kepada keamanan negara.
Sekiranya suara sederhana ini diterima ramai, maka ia memberi satu tekanan kepada pemimpin negara dan beberapa kumpulan agar tidak melampaui batas dan berhati-hati dalam setiap perbuatannya, terutama sekali dalam soal yang sensitif dan boleh menjejaskan ketegangan kaum adan agama.
Apabila nasionalisme baru dapat menggariskan kepentingan negara, maka ia dapat mengeratkan kesefahaman dan komunikasi generasi baru tantang kepentingan nasional. Ia juga meletakkan hala tuju yang jelas untuk agenda membina negara.
Nasionalisme satukan rakyat
Perpaduan rakyat seperti “puzzle”. Setiap puzzle berbeza bentuk dan warna perlu dicantumkan bagi melengkapkan rekaan. Jika tertinggal satu, maka tidak sempurna puzzle tersebut. Nasionalisme pula ibarat kesungguhan dan daya pemikiran untuk menghabiskan puzzle tersebut.
Hakikatnya, negara merdeka tidak boleh mempunyai dua atau tiga pemikiran nasionalisme. Suka atau tidak, sudah menjadi tanggungjawab warganya untuk bersatu, membina dan memajukan tanah air ini.
Saya percaya, jika nasionalisme baru mampu memupuk semangat kebangsaan dalam jiwa rakyat, kemakmuran negara akan bertambah dalam tempoh yang panjang. Jika ia retorik yang diulang-ulang, maka ia akan membantutkan proses membina negara maju dan saksama dalam tempoh yang lama.
Fakhrurrazi Rashid ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.