
Ismail berkata, sekiranya ada kempen dibuat badan bukan kerajaan (NGO) supaya pengguna membeli produk halal daripada peniaga Muslim, maka ia adalah atas dasar kesedaran orang Islam tentang kewajipan mendapatkan produk yang halal dan suci tanpa was-was.
“Seingat saya, tidak ada kempen oleh Umno dan PAS untuk boikot produk bukan Bumiputera atau bukan Muslim. Harus diingat kesedaran orang Muslim berkaitan produk halal ini timbul setelah terlalu banyak produk bukan Muslim yang menggunakan nama-nama Islam demi menggaburi mata pengguna.
“Terdapat produk bukan Bumiputera yang tidak menitikberatkan soal kebersihan dan status halalnya. Kesedaran ini timbul setelah penggusaha bukan Bumiputera menganiaya dan mengkhianati pengguna dengan mengetepikan soal halal dan kesucian demi keuntungan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Lim menggesa PAS dan Umno membantu menghentikan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera kerana ia tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.
Setiausaha agung DAP itu berkata, jika Umno dan PAS tidak memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu, maka kedua-dua parti itu patut membantah boikot tersebut.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan meminta kempen itu dihentikan kerana ia tidak berkesan dan hanya akan mencetuskan kemarahan orang lain.
Beliau berkata, hanya orang yang berfikiran cetek akan berbuat demikian.
Ismail berkata, kenyataan Lim menuduh orang Melayu atau Bumiputera khususnya Umno-PAS terlibat dalam kempen memboikot produk bukan Bumiputera adalah tindakan jahat dan tidak bertanggungjawab, selain boleh menimbulkan perasaan sakit hati dan perpecahan kaum dalam negara.
“Kenyataan tentang pengguna sepatutnya datang daripada menteri atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bukannya daripada Kementerian Kewangan. Tetapi nampaknya Lim membuat kenyataan yang dilihat rasis dan berniat jahat.
“Lim sepatutnya menghormati keputusan pengguna dalam membuat pilihan. Sepatutnya beliau gembira kerana pengguna sudah tahu menggunakan hak sebagai pengguna. Sejak dari dahulu kempen kesedaran pengguna dilaksanakan oleh KPDNKK dan KPDNHEP, nampaknya kempen tersebut sedang berhasil,” katanya.
Ismail berkata, jika benar wujud kempen beli barangan dan produk Muslim atau boikot seperti yang dilakukan NGO dan individu dalam kalangan orang Melayu dan Islam berkaitan produk halal, maka beliau yakin ia akan membuka lembaran baru kepada produk keluaran orang Islam.
“Secara tidak langsung ia bakal mengangkat ekonomi orang Islam pada kedudukan yang baik dan akan melahirkan lebih ramai pengusaha Bumiputera yang mengutamakan ‘soal hukum halal haram’ bagi setiap produk,” katanya.