Agong turun singgahsana sampai pingat, penerima anugerah terharu

Agong turun singgahsana sampai pingat, penerima anugerah terharu

Ketua Pengarah FRIM Dr Abd Latif Mohmod mengalami kecederaan sewaktu bekerja menyebabkan beliau tidak boleh berdiri lama.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menuruni singgahsana untuk menyampaikan pingat kepada Abdul Latif yang tidak dapat berdiri lama dan terpaksa bertongkat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tindakan spontan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menuruni anak tangga singgahsana untuk mengurniakan darjah kebesaran membuatkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Abd Latif Mohmod berasa terharu dan dihargai.

Abd Latif yang ditemui pemberita selepas istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 di Istana Negara hari ini berkata, beliau sama sekali tidak menduga Agong akan bertindak sedemikian selepas melihat beliau yang bertongkat akibat kecederaan yang dialaminya 10 tahun dahulu ketika bertugas.

“Saya rasa terharu. Mungkin Yang di-Pertuan Agong rasa saya susah untuk naik (anak tangga singgahsana) sebab berjalan pakai tongkat.

“Sebenarnya saya terperanjat. Tuanku beri signal (kepada saya) jangan naik (anak tangga singgahsana) dan berkata, “Tidak apa saya turun”, kata Abd Latif yang menyifatkan tindakan Agong itu sebagai satu penghargaan daripada seorang raja yang berhati mulia kepada rakyat yang cuba berbakti kepada negara.

Menurut Abd Latif, Sultan Abdullah juga sempat bertanya keadaan dirinya, “Dah lama ke sakit, boleh berjalan ke?.

Menjawab pertanyaan Sultan Abdullah, Abd Latif memberitahu beliau boleh berjalan, tetapi tidak boleh berdiri lama kerana pernah jatuh dulu sewaktu bekerja.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Abd Latif yang akan bersara pada tahun depan dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran “Datuk”.

Pada tahun ini, Agong berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.

“Penghargaan ini adalah kurniaan terbaik yang saya dapat di peringkat persekutuan. Ini membuktikan kita perlu terus berbakti dan berjasa bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.