Penolong pengarah JPN didakwa jual MyKad ke mahkamah esok

GEORGE TOWN: Seorang penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu.

Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Yusaini Amer Abdul Karem mengesahkan perkara itu semasa dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, sumber memaklumkan lelaki berusia 40-an itu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah esok.

Penolong pengarah itu dikatakan bersekongkol dengan seorang “runner” lelaki warga tempatan bagi mendapatkan Mykad tulen itu namun kegiatan tersebut terbongkar selepas status warga asing yang mempunyai MyKad tulen berkenaan berjaya dikesan imigresen.

Katanya data dalam MyKad warga asing berkenaan milik seorang warganegara Malaysia yang tidak dikenalinya, malah siasatan lanjut ke atas waris warganegara yang mana maklumatnya diklon itu nafi mengenali wanita dari China berkenaan.