Putrajaya timbang tubuh suruhanjaya undang-undang bebas

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong bercakap pada majlis mengingati ulang tahun ke-20 Suhakam di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Putrajaya sedang mengkaji kemungkinan menubuhkan suruhanjaya undang-undang bebas untuk mengkaji semula dan mengesyorkan pembaharuan undang-undang yang diperlukan kepada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata kertas putih mengenai suruhanjaya yang dicadangkan itu telah selesai, dengan langkah seterusnya untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan yang relevan termasuk Majlis Peguam.

“Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara Komanwel yang tidak mempunyai suruhanjaya ini lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis mengingati ulang tahun ke-20 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, hari ini.

“Ia boleh dipengerusikan oleh hakim bersara, profesor atau pengamal undang-undang yang akan membantu dalam pembaharuan undang-undang.”

Walaupun Liew seorang peguam dan menteri yang menjaga urusan undang-undang, katanya, individu lain diperlukan untuk urusan pembaharuan undang-undang untuk terlibat dengan pihak berkepentingan dan orang ramai.

Laporan suruhanjaya itu akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum diberikan kepada Kabinet.

Setelah diluluskan Kabinet, katanya, undang-undang itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk didebatkan bagi memastikan perbincangan yang lebih substantif oleh ahli Parlimen.

Liew berkata beliau berharap untuk mengemukakan kertas itu kepada Kabinet tahun depan.