Jerebu: Sekolah, tadika di Pontian juga ditutup hari ini

Pihak berkuasa Johor mengambil langkah menutup sekolah ekoran keadaan berjerebu yang semakin teruk. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Semua sekolah dan tadika di seluruh daerah Pontian juga diputuskan tutup hari ini berikutan jerebu.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor Azman Adnan berkata, berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU 220 di daerah itu ditakrifkan sebagai tidak sihat.

Terdapat 100 sekolah dengan seramai 29,200 murid serta pelajar direkodkan di seluruh Pontian termasuk Kolej Vokasional Tanjung Piai.

Dipetik Bernama, beliau memberitahu, murid prasekolah pula melibatkan 1,268 orang manakala murid tadika swasta seramai 2,610 orang.

“Semua ibu bapa perlu dimaklumkan bahawa murid sekolah dan tadika tidak perlu hadir ke sekolah manakala guru bertugas seperti biasa dengan menjalankan tugas-tugas lain di sekolah seperti mana kandungan surat siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berkaitan.

“Mohon patuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan jerebu yang dikeluarkan oleh KPM dan pihak berkuasa,” katanya malam tadi.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata semua institusi pengajian tinggi dan kira-kira 220 sekolah di Tangkak dan Muar ditutup hari ini kerana IPU menunjukkan tahap sangat tidak sihat iaitu melebihi 200 petang.

Penutupan itu melibatkan 129 sekolah di sini dan 89 di Muar. Turut terlibat ialah IPT antaranya kolej matrikulasi.