Dr Farid terus fokus bantu rakyat sebelum meninggal dunia, kata ibu

Dr Md Farid bertemu masyarakat sehingga kira-kira jam 4 pagi tadi sebelum dilaporkan meninggal dunia dipercayai kerana serangan jantung di hospital, dua jam kemudian.

PONTIAN: Jam-jam terakhir Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir pagi tadi, masih fokus dalam membantu masyarakat setempat.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh ibu ahli Parlimen Tanjung Piai itu, Norma Mohamed ketika ditemui pemberita di Kampung Serkat Laut, di sini, hari ini.

“Dia panggil pegawai dia, kata ketua kampung macam ni macam ni..selesaikan, dia mungkin tidak sempat balik, takut benda tidak selesai.

“Dia pesan pada pegawai kena selesaikan benda ni, kena habiskan, nanti nak minta peruntukan,” kata beliau yang sehingga kini masih terngiang-ngiang pesanan anak sulungnya itu.

Allahyarham, 42, meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira pukul 6 pagi tadi, meninggalkan isteri, Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu difahamkan menghadiri satu acara di Pontian Jaya malam tadi selepas sampai dari Putrajaya semalam.

Selepas itu beliau, yang juga timbalan ketua bahagian PPBM Tanjung Piai, bertemu masyarakat sehingga kira-kira pukul 4 pagi tadi sebelum kemudiannya dilaporkan meninggal dunia dipercayai serangan sakit jantung di hospital, dua jam kemudian.

“Saya redha dengan pemergiannya dan mengharapkan penduduk mendoakan rohnya dicucuri rahmat,” kata beliau, 67, yang juga ketua Srikandi PPBM bahagian Tanjung Piai.

Kira-kira lebih 500 penduduk dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sekitar menziarahi keluarga Md Farid sejak awal pagi tadi, termasuk speaker Dewan Undangan Negeri Suhaizan Kayat dan pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang.