Kerajaan teliti cadangan baharu siapkan MEX II

Kerajaan teliti cadangan baharu siapkan MEX II

Isu penting seperti aliran tunai dan kadar tol belum dimuktamadkan, kata menteri kerja raya.

MEX Highway bernama 030525
Projek MEX II mula dilaksanakan pada 2016, namun terhenti apabila pemegang konsesi dilanda masalah aliran tunai dan gagal membayar balik pelabur yang membiayai projek itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang meneliti cadangan baharu bagi menyiapkan projek Lebuhraya MEX II yang tertangguh sekian lama, menurut Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, Unit Kerjasama Awam Swasta di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menerima cadangan baharu daripada penerima dan pengurus pada Disember tahun lepas untuk meneruskan menyiapkan pembinaan MEX II.

Katanya, kerajaan sedang meneliti cadangan itu sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan.

Bagaimanapun, katanya, projek itu belum boleh diteruskan kerana masih terdapat beberapa isu yang belum dimuktamadkan.

“Isu berkenaan penyiapan baki keseluruhan projek (lebuh raya tersebut) masih belum dapat dilaksanakan memandangkan perkara-perkara berkaitan aliran tunai, kos pembiayaan, analisis kajian trafik, tempoh konsesi, kadar tol dan sebagainya bagi memastikan projek ini kekal berdaya maju masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Yeo Bee Yin (PH-Puchong).

Nanta berkata, projek tersebut diletakkan di bawah kawalan penerima selepas syarikat pengendali lebuh raya itu gagal menjelaskan pembayaran kepada pelabur pada Januari 2022.

Keadaan ini mendorong para pelabur melantik penerima dan pengurus bagi mengambil alih projek, menyusun semula kewangan serta menyiapkan saki-baki pembinaan.

MEX II dirancang sebagai sambungan Lebuhraya MEX yang menghubungkan persimpangan Putrajaya ke Lebuhraya KLIA.

Projek ini mula dilaksanakan pada 2016, namun terhenti apabila pemegang konsesi dilanda masalah aliran tunai dan gagal membayar balik pelabur yang membiayai projek itu.

Pada Disember lepas, Nanta mendedahkan kira-kira RM449 juta diperlukan untuk menyiapkan MEX II.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.