Jangan takut dedah angka kemiskinan sebenar, Kit Siang nasihat PH

Jangan takut dedah angka kemiskinan sebenar, Kit Siang nasihat PH

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata kerajaan perlu bersandar pada kajian pakar bidang yang memberi gambaran yang betul.

Lim Kit Siang.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menasihatkan Pakatan Harapan jangan takut memberitahu angka kemiskinan sebenar kepada rakyat, kerana kerajaan perlu bersandar pada kajian pakar bidang yang memberi gambaran yang betul.

Lim berkata pendedahan angka kemiskinan sebenar mungkin akan dimanipulasikan pembangkang sehingga PH dipersalahkan, tetapi kerajaan tidak perlu takut memberikan gambaran sebenar permasalahan itu.

Beliau percaya rakyat akan dapat menerima situasi sebenar kemiskinan jika penjelasan diberikan oleh golongan pakar.

“Saya percaya kebenaran akan ditunjukkan jika ada penjelasan yang tepat dibuat untuk orang ramai, bukan hanya oleh kerajaan tetapi oleh para pakar termasuk penyelidik dan ahli akademik,” katanya pada Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan di Parlimen hari ini.

Lim mencadangkan penubuhan suatu jawatankuasa teknikal yang dianggotai pakar bidang untuk mengira semula kemiskinan sebenar menggunakan kaedah kajian antarabangsa.

“Sudah sampai waktunya Malaysia bergerak ke arah pendekatan yang telus dengan meninggalkan amalan lapuk dalam membuat kajian untuk memberi gambaran yang kononnya baik,” katanya.

Terdahulu, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen sepakat menggesa Putrajaya meletakkan aras pendapatan lebih tinggi dalam takrif kemiskinan bagi mendapatkan jumlah penduduk miskin yang tepat dalam merangka tindakannya.

Gesaan menyusuli laporan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Prof Philip Alston pada 23 Ogos lalu, mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara”, dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.