
Kedutaan dalam satu garis panduan keselamatan hari ini juga mengingatkan mereka yang berada di Kaherah dan bandar-bandar lain supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan pihak berkuasa Mesir.
Menurutnya, buat masa ini keadaan keselamatan di Mesir adalah aman, selamat dan terkawal.
“Warga Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak menyertai dan menghampiri sebarang perhimpunan atau berada di kawasan demonstrasi yang dianjurkan mana-mana pihak di Mesir,” katanya dalam Garis Panduan Keselamatan Bilangan 3 Tahun 2019 yang dimuat naik dalam laman sosial Twitter kedutaan itu, hari ini.
Mereka yang memerlukan sebarang bantuan diminta menghubungi Penasihat Kedutaan (Keselamatan) Roslan Alias di talian +201068841984 atau Setiausaha Pertama (Keselamatan) Ab Azis Hassan di talian +201003593244.
Menurut laporan media antarabangsa, ribuan rakyat Mesir menyertai demonstrasi pada Jumaat dan Sabtu di Kaherah dan beberapa bandar lain di Mesir mendesak peletakan jawatan Presiden Abdel Fath el-Sisi.