
Dalam temu bual dengan FMT, Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia; Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa dan anggota Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail bersetuju bahawa PH memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti kecil dan berkata, kawasan tersebut masih mempunyai penyokong Barisan Nasional (BN) yang ramai.
Kerusi berkenaan kosong Sabtu lepas berikutan kematian penyandangnya Dr Mohamed Farid Md Rafik, yang mewakili PPBM dan merupakan seorang timbalan menteri.
Pada pilihan raya umum lepas Farid hanya mendapat 47.29 peratus daripada 44,948 undi berdaftar, BN mendapat 46.12 peratus dan PAS 6.59 peratus. Kawasan berkenaan mempunyai seramai 53,528 pengundi sah, dengan 56 peratus merupakan pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan satu peratus India.
Mustafa berkata, ia bukanlah pencapaian yang memberangsangkan dengan mengambil kira kempen pembaharuan yang diwarwarkan sebelum pilihan raya itu.
Katanya, beliau tidak akan terkejut jika 15 peratus orang Melayu yang mengundi PH tahun lepas beralih untuk mengundi BN dalam pilihan raya kecil (PRK) kelak.

Gabungan pembangkang juga boleh terus berharap pada sokongan tradisi pengundi Cina yang diterimanya sebelum ini, katanya.
Mustafa berkata, beliau percaya sentimen pengundi telah berubah dalam tempoh 16 bulan lepas, terutama sekali kerana kegagalan PH menunaikan banyak janji pilihan rayanya.
“Nampaknya peluang BN lebih baik,” katanya.
“Pilihan terbaiknya ialah meletakkan calon Melayu berdasarkan sentimen dalam kalangan orang Melayu sekarang dan momentum piagam kerjasama antara Umno dan PAS.”
Bagaimanapun katanya, PH berpeluang menang sekiranya ia meletakkan calon yang boleh menarik minat pengundi Melayu dan juga Cina.
“Tokoh yang dikenali dan berwibawa mungkin berupaya mengekalkan kerusi itu di tangan PH,” katanya.
PRK Tanjung Piai bakal diadakan sewaktu wujudnya sedikit-sebanyak ketegangan antara kaum, dengan orang bukan Melayu mengkritik langkah kerajaan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah, sementara orang Melayu pula melancarkan kempen mengutamakan produk keluaran orang Islam.
Syed Idid berkata, beliau juga percaya pilihan calon sangat penting bagi PH.

“Perlu diingat bahawa Umno mendapat sokongan PAS,” katanya, selain menambah bahawa ia akan menambah sokongan pengundi Melayu kepada parti itu, yang menurutnya masih kuat di Johor.
Beliau juga berkata, PH memerlukan jentera pilihan raya yang berkesan, dengan mendakwa gabungan kerajaan itu kalah dalam PRK di Semenyih dan Cameron Highlands sebelum ini kerana parti komponennya tidak senada antara satu sama lain.
Tariq berkata, calon paling sesuai adalah individu yang dapat menarik sokongan kedua-dua pengundi Melayu dan juga Cina.
“Beliau bukanlah individu yang akan memperlihatkan kecenderungan ultra Melayu yang akan menjauhkan pengundi Cina, dan bukan juga individu terlalu progresif yang akan menakutkan orang Melayu tradisional,” katanya kepada FMT.
“Gunakan PRK ini untuk menangkis kebimbangan yang akan disebarkan oleh Umno dan PAS. Isu kaum dan agama boleh diselesaikan melalui dasar nasional kita.”
Beliau mencadangkan calon PPBM yang memahami isu tempatan dipilih, selain mengingatkan PH supaya tidak terlampau yakin.
“Bekerjalah seolah-olah anda bukan parti pilihan,” katanya. “Bekerjalah 1,000 peratus. Jumpa pengundi dan jangan sesekali ingat mereka bodoh. Merendah diri. Cuba menangi hati mereka yang akan menyokong Umno-PAS dan BN.”