MEF: Negara rugi RM1 bilion setiap kali cuti umum

MEF: Negara rugi RM1 bilion setiap kali cuti umum

Sektor swasta membayar gaji pekerja berjumlah RM27 bilion setiap bulan.

Pakar ekonomi menggesa produktiviti sektor awam dan swasta Malaysia ditingkatkan berikutan persaingan dengan negara jiran bagi menarik pelaburan asing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiap hari cuti umum di Malaysia menelan kos produktiviti negara sebanyak RM1 bilion, menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan.

Shamsuddin memberitahu FMT, beliau menyandarkan anggaran itu atas faktor gaji sektor swasta berjumlah RM27 bilion setiap bulan.

Beliau berkata, kehilangan produktiviti paling buruk berlaku semasa cuti umum bersambung yang menjadikan cuti mingguan lebih panjang.

Bulan ini sahaja terdapat tiga cuti ganti yang jatuh pada Isnin iaitu Awal Muharam, Hari Malaysia dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, yang menjadikan cuti hujung minggu lebih panjang.

Shamsuddin berkata, empat cuti penggal persekolahan setiap tahun juga mengganggu kerana ibu bapa akan mengambil cuti untuk Bersama anak masing-masing.

Shamsuddin Bardan.

“Kita harus beralih kepada sistem yang membolehkan majikan dan pekerja merancang cuti dengan lebih baik,” katanya.

“Daripada begitu banyak cuti penggal persekolahan, kita patut ada satu cuti panjang. Ia boleh mengurangkan gangguan.”

Merujuk kepada cuti yang jatuh pada hujung minggu, Shamsuddin berkata, tidak ada undang-undang yang menghendaki ia diganti dengan serta-merta, justeru menjadikan cuti hujung minggu yang panjang.

Beliau berkata, adalah lebih baik cuti ganti dimasukkan ke dalam jumlah cuti tahunan.

“Dengan cara itu majikan boleh merancang sumber dengan lebih baik bagi meminimumkan gangguan,” katanya.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata, 17 hari cuti umum setahun adalah “terlalu banyak” dan boleh menghalang syarikat asing melabur di Malaysia.

Beliau mengakui sesetengah hari cuti, terutama yang berkaitan dengan perayaan keagamaan, tidak boleh diubah, tetapi berkata, cuti lain boleh disekalikan dengan hujung minggu bagi mengurangkan hari cuti bergaji seperti diamalkan di beberapa negara lain.

Soh Thian La.

Beliau juga mengingatkan mengenai cuti tidak dirancang sempena sambutan kejayaan dan kemenangan tertentu.

“Pengumuman cuti umum secara ad-hoc terbukti merugikan industri,” katanya.

“Ia memberi kesan ke atas produktiviti dan kecekapan.”

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak menggesa produktiviti di sektor awam dan swasta ditingkatkan berikutan persaingan dengan negara jiran bagi menarik pelaburan asing.

Beliau merujuk usaha yang dijalankan oleh Thailand dan Vietnam dalam memperbaiki infrastruktur, kemahiran pekerja dan produktiviti mereka.

Barjoyai Bardai.

Katanya, rancangan pembaharuan Putrajaya boleh membawa kepada pengecilan perkhidmatan awam dan kemunculan lebih banyak perkhidmatan yang diswastakan.

Katanya, walaupun langkah itu perlu dialu-alukan, namun kesan buruknya ialah kakitangan terlibat mungkin tidak bersedia berdepan perubahan itu.

“Di sektor swasta, jika pekerja tidak cukup produktif, majikan akan mencari jalan untuk meningkatkan produktiviti melalui automasi misalnya,” kata beliau.

“Ini bermakna pekerjaan akan hilang.

“Jadi pekerja perlu meningkatkan pencapaian mereka, mendapatkan kemahiran baru dan kekal relevan kepada majikan masing-masing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.