
Faizul Shahrul Mohd Salleh yang sedang dirawat di KPJ Seremban berkata, pembedahan itu bertujuan membetulkan enam keretakan di pinggul dan pelvisnya.
“Saya tidak rasa apa-apa kecuali terkejut.
“Sekarang, doktor beritahu saya 10 plat logam perlu dimasukkan untuk kecederaan saya,” kata pembantu politik Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, ketika dihubungi FMT.
Bapa kepada tiga anak yang berusia 44 tahun itu sedang berlari di Jalan Ulu Klang, Ampang, pada awal pagi Sabtu lalu, ternampak lampu sebuah kereta dari jarak jauh.
“Ia sekitar 6.20 pagi. Ada dua laluan dan saya berlari di laluan kiri yang dikhaskan untuk pelari.
“Laluan kanan dibuka untuk kereta dan ada kon pemisah antaranya.”
Beliau berkata, ketika kejadian, keadaan masih gelap dan tiada lampu di kawasan itu.
“Saya dengar kon pemisah dilanggar dan kemudian saya nampak lampu yang kelihatan memasuki laluan pelari.”
Tetapi, dia yang tidak sempat mengelak, dilanggar kereta itu dan merasakan dirinya “diseret” beberapa saat.
“Saya tidak tercampak, tetapi saya rasa seperti diri diseret,” katanya sambil menambah saat-saat berikutnya terasa kabur, tetapi beliau menyedari peserta lain dan pembantu perubatan bergegas ke sisinya.
“Saya cuba duduk, tetapi tidak mampu, jadi saya baring semula di jalan raya.”
Pegawai kecemasan tiba di tempat kejadian dalam masa kira-kira 10 minit dan Faizul dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Dia tidak ingat jika kereta itu berhenti selepas melanggarnya, tetapi orang lain memberitahunya kereta berkenaan memecut meninggalkan tempat kejadian.
Nombor pendaftaran kereta itu yang terjatuh, dikesan milik sebuah kereta Honda City.
Selain Faizul, dua lagi peserta mengalami kecederaan ringan akibat dilanggar kereta itu yang merempuh penghadang keselamatan didirikan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Standard Chartered KL Marathon ialah larian tahunan yang diadakan sejak 1989. Lebih 30,000 peserta mengambil bahagian tahun ini bersama kira-kira 1,900 peserta antarabangsa dari 73 negara.
Tag: langgar lari, kemalangan, Standard Chartered KL Marathon, peserta cedera