Didakwa rogol kakitangan parlimen, speaker Nepal letak jawatan

Didakwa rogol kakitangan parlimen, speaker Nepal letak jawatan

Parti Komunis yang memerintah meminta Krishna Bahadur Mahara meletakkan jawatan speaker dan membantu siasatan.

Krishna Bahadur Mahara (Gambar Reuters)
KATHMANDU:
Speaker Dewan Perwakilan Nepal, Krishna Bahadur Mahara meletakkan jawatan hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung tuduhan rogol dibuat seorang kakitangan parlimen.

Dalam surat dihantar kepada timbalan speaker, diterbitkan akhbar tempatan My Republica, Mahara berkata beliau mengambil langkah itu “atas tanggungjawab moral bagi memudahkan siasatan adil terhadap tuduhan yang menimbulkan persoalan serius mengenai imej saya.”

Wanita itu menuduh Mahara cuba memperkosa dia ketika mabuk di apartmennya di ibu kota Kathmandu pada Ahad, kata Ketua Polis Kathmandu, Uttam Subedi hari ini.

Berikutan aduan itu, polis memulakan siasatan terhadap speaker, katanya.

Telefon peribadi Mahara telah dimatikan ketika Reuters cuba menghubungi beliau.

Penasihat Mahara, Dilli Malla menafikan dakwaan dalam kenyataan media pagi tadi sambil menegaskan ia sebagai “percubaan untuk membunuh imej speaker”.

Mahara, bekas pemberontak Maois, dipilih sebagai speaker selepas pemberontak dan gerakan komunis sederhana memenangi pilihan raya umum pada 2017.

Beliau merupakan perunding pemberontak utama semasa rundingan damai dengan kerajaan yang menamatkan perang saudara selama sedekad pada 2006.

Parti Komunis yang memerintah meminta Mahara meletakkan jawatan dan membantu siasatan yang adil, kata jurucakap parti Narayan Kaji Shrestha melalui telefon, di tengah-tengah kritikan terhadap Mahara di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.