SPR: 18 tahun dibenar bertanding PRK Tg Piai, tetapi tak boleh undi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan ia membenarkan calon berusia 18 tahun bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai bulan depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun bagaimanapun berkata, rakyat berusia 18 tahun tidak dibenarkan mengundi pada PRK ini kerana pindaan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 Sept lalu belum dikuatkuasakan.

“Sama ada calon berusia 18 tahun ini diterima atau tidak, ia terletak dalam bidang kuasa pegawai pengurus pada hari penamaan calon.

“Bagi pihak SPR, kita sedang ambil tindakan untuk melibaturuskan secara dwi-partisan pada masa terdekat, minggu ini,” katanya selepas mesyuarat khas mengenai PRK Tanjung Piai di Menara SPR hari ini.

Azhar ketika ditanya adakah proses pendaftaran pengundi bagi pengundi berusia 18 tahun boleh dilakukan secara manual, sementara menunggu sistem automatik diperkenalkan, beliau berkata perkara itu belum dikuatkuasakan.

“Belum, untuk umur 18 tahun, penurunan had umur untuk mengundi dari 21 tahun hingga 18 tahun belum dikuatkuasakan. Ia akan dikuatkuasakan apabila diputuskan dan diwartakan sedemikian,” katanya.

Ketika ditanya lagi bila ia akan diputuskan, Azhar secara ringkas berkata, akan dilaksanakan “pada masa akan datang”.

Pindaan Artikel 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur calon bertanding daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan Artikel 119 bagi mengurangkan umur mengundi kepada 18 tahun, diwartakan pada 10 Sept lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 4 Sept lalu.

Ditanya jika beliau akan menasihatkan parti politik menurunkan calon 18 tahun pada PRK Tanjung Piai, Azhar berkata, ia bukan bidang kuasanya, tetapi SPR akan berbincang dengan parti politik berhubung perkara itu.

Terdahulu, SPR menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini, dengan penamaan calon pada 2 Nov dan pengundian awal 10 hari kemudian.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik, 43, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Naib ketua PPBM Tanjung Piai itu memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti 524 undi, selepas menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).