Bekas pengerusi SPR Hashim Abdullah meninggal dunia

Bekas pengerusi SPR Hashim Abdullah meninggal dunia

Mohd Hashim Abdullah dilaporkan mengalami serangan jantung Selasa lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.

Hashim Abdullah
Mohd Hashim Abdullah berkhidmat sebagai pengerusi SPR dari 2016 hingga 2018.
PETALING JAYA:
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Hashim Abdullah meninggal dunia pada 2 petang hari ini di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi kesihatan pada usia 71 tahun.

Anak ketiganya, Aleena Fatin berkata bapanya dilaporkan mengalami serangan jantung pada Selasa lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.

“Pada Selasa, ayah mengalami serangan jantung dan telah dibawa ke wad kecemasan Hospital Putrajaya. Petang itu dimasukkan ke High Dependency Unit.

“Hari ini pada 10 pagi, doktor mengarahkan kami untuk refer (rujuk) beliau ke IJN, namun semasa dalam perjalanan beliau sekali lagi mengalami serangan jantung,” katanya, menurut Bernama.

Aleena turut memaklumkan setibanya di IJN, Allahyarham diberikan bantuan pernafasan (CPR) dan disahkan meninggal dunia pada 2 petang tadi.

SPR dalam hantaran di laman X menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Allahyarham berkhidmat sebagai pengerusi SPR dari 2016 hingga 2018, dan ketua setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, selain jawatan terakhir sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Sementara itu, Aleena memaklumkan solat jenazah diadakan di Surau Al-Mizan, Presint 8, Putrajaya selepas solat maghrib, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20, selepas solat isyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.