Undi18: SPR digesa kuat kuasa peruntukan tanding dan undi serentak

Undi18: SPR digesa kuat kuasa peruntukan tanding dan undi serentak

SPR perlu lebih cakna dalam hal ini dan tidak terlalu ghairah untuk dilihat 'inklusif' sehingga membuat keputusan separa matang.

Pelbagai pihak berpandangan kebenaran untuk calon berusia 18 tahun bertanding perlu dibuat serentak dengan kebenaran pengundi berusia 18 tahun mengundi.
PETALING JAYA:
Pemangku Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Mohamad Syafiq Ridzwan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan had kelayakan menjadi calon dan pengundi pada umur 18 secara serentak dan bukan secara berasingan.

“MBS berpendapat, kebenaran untuk calon berusia 18 tahun bertanding perlu dibuat serentak dengan kebenaran pengundi berusia 18 tahun mengundi. SPR perlu lebih cakna dalam hal ini dan tidak terlalu ghairah untuk dilihat ‘inklusif’ sehingga membuat keputusan separa matang,” katanya dipetik Bernama.

Pandangan sama turut disuarakan Koordinator Dewan Muda Johor (DMJ) Ahmad Solehin Abd Ghani yang berpendapat adalah janggal, apabila pengundi berumur 18 tahun masih tidak boleh mengundi walaupun boleh menjadi calon.

“DMJ dimaklumkan bahawa sistem pendaftaran automatik untuk umur 18 tahun sebagai pengundi hanya akan bermula pada pertengahan 2021. DMJ berpendapat tempoh tersebut terlalu lama.

“Bayangkan jika ada calon berusia 18 tahun bertanding di PRK Tanjung Piai, tetapi beliau tidak boleh mengundi, maka amatlah janggal perkara tersebut dan ia bertentangan dengan amalan kebiasaan,” kata beliau menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook DMJ.

Pada Selasa, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, mana-mana parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 16 Nov ini, boleh meletakkan calon berusia 18 tahun.

Keputusan itu sejajar dengan dengan pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, yang diwartakan pada 10 Sept lepas.

Bagaimanapun, keputusan itu turut mendapat reaksi berbeza daripada sesetengah pihak yang berpendapat ia sebagai tindakan yang terburu-buru kerana kelayakan mengundi pada umur 18 tahun masih belum diwartakan.

subhead: Langkah mengejut

Dalam temu bual khas bersama FMT Selasa, bekas pengerusi SPR Ab Rashid Ab Rahman berkata badan pilihan raya itu boleh menerima pendaftaran pemilih mereka berusia 18 tahun mulai sekarang tanpa menunggu mekanisme automatik dibangunkan sepenuhnya kelak, dijangka mengambil masa dua tahun.

Malah kata beliau, usia 18 tahun adalah terlalu awal bagi seseorang bertanding dalam pilihan raya dan menjadi wakil rakyat kerana seseorang itu belum cukup matang dan kurang berpengalaman dalam politik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata SPR perlu memastikan keputusan itu tidak memberi impak perundangan, terutama jika calon muda berkenaan menang dalam PRK.

“SPR kena tengok dari aspek undang-undang. Kita tak naklah juga esok (suatu hari) apabila calon tu menang, tiba-tiba dicabar mana-mana pihak. Masih perlu lihat secara mendalam dan tiada masalah undang-undang,” katanya.

Ahmad Samsui berkata pemilihan calon PRK amat berbeza meskipun membuka peluang kepada golongan muda dan ia tidaklah sepertimana melantik pengerusi kelab atau wakil persatuan.

Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sembilan Fakruradzi Abdullah berkata langkah itu seharusnya tidak dibuat secara mengejut, sebaliknya beri pendedahan awal kepada remaja terlebih dahulu.

“Saya akui kita (negara) ada usaha untuk mendedahkan anak-anak muda sejak dibangku sekolah berhubung kesedaran mengundi dan sebagainya, termasuk mewujudkan Parlimen Belia Malaysia untuk dedahkan anak muda tentang bagaimana untuk mentadbir, berbahas dan fikir hal masyarakat, termasuk sistem pentadbir negara.

“Bagaimanapun pada saya, calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya, perlu ada pengalaman dalam dunia politik dan bukan sekadar pengetahuan semata-mata, kerana dalam dunia politik ada banyak ‘sepak terajang’nya,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafiq pada 21 Sept lepas.

Ia merupakan PRK yang kesembilan, selepas PRU14 pada 9 Mei 2018. PRK sebelum ini adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau manakala PRK bagi kawasan parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.