Insentif getah bantu pekebun kecil harungi penurunan harga

Penurunan harga getah di pasaran dunia berterusan pada awal Oktober 2019 yang dipengaruhi oleh sentimen negatif di pasaran China. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bertujuan memastikan harga getah yang diterima oleh pekebun kecil di peringkat ladang tidak terjejas akibat penurunan harga di pasaran dunia, demikian menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Dalam kenyataan hari ini, LGM berkata kerajaan prihatin dengan situasi semasa harga getah dan akan terus memastikan kebajikan pekebun kecil menerusi pelaksanaan IPG tersebut.

“Di peringkat antarabangsa, Malaysia terus bekerjasama dengan negara-negara pengeluar utama getah iaitu Thailand dan Indonesia di bawah kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) bagi menangani kejatuhan harga getah yang berpanjangan.

“Ini melalui langkah-langkah seperti skim pengurusan bekalan, skim menggalakkan permintaan serta skim kuota pengeksportan.”

Menurut LGM, penurunan harga getah di pasaran dunia berterusan pada awal Oktober 2019 yang dipengaruhi oleh sentimen negatif di pasaran China yang juga pengguna getah asli terbesar dunia.

“Sepertimana laporan media antarabangsa baru-baru ini, sebuah syarikat pedagang utama di China yang mengimport sebanyak 1.6 juta tan getah setahun dari negara-negara pengeluar utama getah telah bertindak menghentikan pembelian getah dan juga menamatkan kesemua kontrak perdagangan getah yang belum dilaksanakan.

“Situasi ini memberi kesan kepada pasaran getah dunia termasuk Malaysia apabila harga getah gred Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 jatuh ke paras terendah pada 2019 iaitu RM5.16 sekilogram pada 4 Oktober 2019,” kata LGM.

Selain itu, prestasi harga getah pada separuh pertama 2019 menunjukkan aliran peningkatan apabila harga getah gred SMR 20 menokok sebanyak 9.5 peratus kepada RM6.21 sekilogram pada suku kedua tahun ini berbanding RM5.67 sekilogram pada suku pertama akibat faktor kekurangan bekalan getah.

Masalah itu disebabkan oleh faktor musim daun luruh dan penyakit kulat di beberapa ladang utama di Indonesia serta pelaksanaan pemotongan eksport getah oleh Thailand, Indonesia dan Malaysia bawah kerangka ITRC.

Bagaimanapun, prestasi harga getah mula menunjukkan kemerosotan bermula pada suku ketiga 2019 apabila harga SMR 20 susut sebanyak 10 peratus kepada RM5.59 sekilogram berbanding suku kedua, kata LGM.

“Kejatuhan harga getah sepanjang tempoh itu adalah dipengaruhi oleh permintaan getah yang perlahan berikutan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat dan China yang berlanjutan dan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia serta China yang perlahan,” kata LGM.