Utusan sah tutup operasi, kuat kuasa hari ini

Abd Aziz Sheikh Fadzir memaklumankan pemberhentian operasi Utusan Melayu hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Utusan Melayu, syarikat akhbar berusia 80 tahun, akan berhenti operasi berkuat kuasa hari ini, kata Pengerusi Eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam surat makluman dihantar kepada pekerjanya.

Kata beliau, lembaga pengarah Utusan Melayu pada 7 Okt telah meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim.

Pekerja termasuk wartawan dimaklumkan hari ini sebagai hari terakhir mereka bekerja dan tarikh akhir perkhidmatan adalah pada 31 Okt.

“Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Okt 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Okt,” kata beliau dalam surat makluman diedarkan kepada pekerjanya, dianggarkan dalam 600 orang hari ini.

Dalam surat itu, beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Utusan Melayu telah melalui tempoh perniagaan paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun lalu.

“Keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei 2018,” kata beliau.

Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukanlebih kukuh dan terjamin.

Ini termasuklah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka.

Aziz juga berkata syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

“Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.

“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang – pemiutang,” kata beliau.

Pekerja Utusan Melayu termasuk wartawannya menerima surat makluman penutupan operasi syarikat hari ini.

Sementara sumber memberitahu FMT akhbar-akhbar itu akan diterbitkan semula selepas sebulan, Abd Aziz tidak menyebut mengenai perkara tersebut dalam surat edarannya.

Ekuiti berubah tangan

Syarikat Opulence Asia Sdn. Bhd. milik penuh Aziz melakukan transaksi pembelian saham Utusan Melayu pada Feb lalu dengan jumlah dagangan sebanyak 31.6 peratus daripada Umno.

Transaksi itu menyaksikan Aziz muncul pemegang saham terbesar setelah membeli 35 juta unit saham yang melibatkan kos keseluruhan RM6.65 juta.

Aziz dilantik pengerusi eksekutif Utusan pada Jun 2018 sebelum melepaskan jawatannya pada Dis 2018. Sepanjang enam bulan tersebut, pelbagai langkah dan pelan transformasi dilaporkan telah dirancang dan penstrukturan semula syarikat Utusan sedang diusahakan termasuklah melaksanakan VSS melibatkan 700 orang pekerja.

Utusan Melayu diasaskan oleh Yusof Ishak pada 1939 diambil alih oleh Umno pada 1959 dan seterusnya oleh Aziz pada Feb lalu apabila muncul sebagai pemegang saham terbesar.

Isnin lalu, Utusan Melayu mengumumkan ia akan melepaskan 70% pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn. Bhd. kepada Aurora Mulia Sdn. Bhd., pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Utusan Melayu berkata pelepasan pegangan dalam Dilof itu adalah untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana itu.

Ruang pejabat editorial Kosmo! di Kompleks Sri Utusan, Kuala Lumpur lengang sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Ia untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia yang telah berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo! yang berusia 15 tahun dapat diteruskan, kata syarikat itu. Dilof merupakan anak syarikat 100 peratus milik Utusan Melayu yang kini merupakan pemegang permit menerbitkan dua akhbar berbahasa Melayu berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Mengenai kelayakan pekerja untuk faedah penamatan kerja, kata beliau, ia tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan ini akan dikendalikan oleh pihak pelikuidasi.

Katanya, satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi akan diadakan pada 30 Okt.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan ketika sesi taklimat ini berlangsung,” kata beliau.

Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia memberitahu pihaknya masih belum menerima notis pemberhentian operasi Utusan Melayu daripada pihak pengurusan syarikat itu.

Menterinya M Kulasegaran berkata pihaknya akan menunggu serahan notis tersebut yang mengesahkan syarikat akhbar berusia 80 tahun, akan berhenti operasi berkuat kuasa hari ini.

“Kalau benar, nasib para pekerja masih boleh dibela,” katanya di lobi Parlimen.