
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Malaysia@Kerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.
* #GraduanKerja (Graduates@Work) direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan. Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima. Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama.
* #WanitaKerja (Women@Work) bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih. Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan dalam bagi tempoh yang sama. Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023.
* #WatanKerja (Locals@Work) adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama
* #PerantisKerja (Apprentice@Work) adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET. Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai dilanjutkan.

“Kerajaan percaya menerusi program #MalaysiaKerja, warga Malaysia yang menganggur akan menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentif tamat adalah melebihi 90 peratus.
“Ini akan membina modal insan dari kalangan penganggur untuk menjadi pekerja yang berdikari dan menyumbang secara produktif kepada pasaran buruh,” kata beliau.
Lim berkata, inisiatif #MalaysiaKerja akan disediakan oleh kerajaan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja.
“Inisiatif ini juga akan diintegrasikan dengan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) serta program pasaran buruh aktif yang lain.
“Kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun,” kata beliau.
Program itu, kata beliau, dapat mengurangkan kebergantungan kepada seramai 130,000 orang pekerja asing. #MalaysiaKerja dijangka melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun yang akan datang.