
Kata beliau, terdapat keperluan untuk mengadakan libat urus yang membina bersama dengan dialog terbuka.
“Sebarang kepincangan terhadap sistem ekonomi dan perdagangan dunia akan menyebabkan pertumbuhan merudum di mana tiada pihak yang menang, malah merugikan semua pihak,” kata beliau di Dewan Rakyat.
Oleh yang demikian, kata beliau, Belanjawan 2020 dibentangkan hari ini telah mengambil kira kesemua cabaran tersebut.
“Untuk meningkatkan kemampanan pertumbuhan ekonomi, negara memerlukan dasar perindustrian yang lebih komprehensif.
“Intervensi kerajaan melalui dasar tertentu amat diperlukan untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, mengutamakan pelaburan dalam sektor strategik, menyemarakkan semula industri berasaskan eksport dan menggalakkan keusahawanan,” kata beliau.
Lim berkata, tidak syak lagi, belanjawan kali ini adalah bajet yang berorientasikan pertumbuhan, dengan langkah-langkah terancang yang dirangka bagi mengoptimumkan impak ke atas pertumbuhan ekonomi, penjanaan peluang pekerjaan dan perubahan struktur tanpa menjejaskan komitmen kerajaan untuk memulihkan keadaan fiskal dalam jangka sederhana.
“Ekoran daripada langkah-langkah belanjawan, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan KDNK diunjur berkembang 4.7% pada tahun ini dan meningkat 4.8% pada 2020.
“Manakala kadar inflasi dijangka terus terkawal pada 2% peratus pada bagi tahun 2020,” kata beliau.
Menurut Lim, sekiranya persekitaran luar kekal tidak memberangsangkan, kerajaan bersedia menimbang untuk mengambil langkah-langkah kontigensi yang diperlukan bagi menyokong atau memangkin semula pertumbuhan ekonomi negara.