Lebuh raya: Kerajaan perlu guna mekanisme lebih telus

Lebuh raya: Kerajaan perlu guna mekanisme lebih telus

Sesebuah syarikat konsesi lebuh raya tidak boleh memegang konsesi terlalu lama sehingga boleh mencecah tempoh melebihi 50 tahun perkhidmatan kerana ia dilihat menyusahkan pengguna.

Semua pihak berkepentingan termasuklah Kementerian Kewangan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia perlu duduk semeja membincangkan mengenai mekanisme baru.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dicadang mencari mekanisme baru lebih telus dalam penswastaan lebuh raya khasnya memandangkan lebih banyak lebuh raya akan dibina pada masa akan datang, kata penganalis ekonomi Pankaj C Kumar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, beliau berkata sesebuah syarikat konsesi lebuh raya tidak boleh memegang konsesi terlalu lama sehingga boleh mencecah tempoh melebihi 50 tahun perkhidmatan kerana ia dilihat menyusahkan pihak pengguna.

“Semua pihak berkepentingan termasuklah Kementerian Kewangan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu duduk semeja membincangkan mengenai mekanisme baru ini, yang mana ia perlu ambil kira faktor bagaimana untuk membina lebuh raya itu secara konsesi atau tidak, serta berapa lama tempoh pegangannya oleh pihak konsesi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menyatakan kerajaan telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang daripada pihak konsesi melibatkan Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Sprint dan Terowong Smart.

Turut ditanya pandangannya mengenai aspirasi kerajaan yang komited untuk menamatkan kontrak konsesi PLUS pada 2038 nanti, Pankaj menjangkakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebagai pemegang saham 51 peratus dalam PLUS Malaysia Berhad akan membeli baki saham yang dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadikan ia milik penuh kerajaan.

“Khazanah dan KWSP boleh berbincang dan mempersetujui dengan cadangan yang munasabah mengenai berapa nilai PLUS yang sebenar.

“Dengan itu KWSP dapat menjual pegangan sahamnya pada harga berpatutan dan semua ahli KWSP juga akan dapat faedahnya secara tidak langsung selepas penjualannya, ia dilihat sebagai situasi menang-menang antara mereka,” katanya.

Sementara itu, pemberian diskaun tol 18% secara purata di semua Lebuh Raya Utara-Selatan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 dilihat dapat mengurangkan beban pengguna terutama bagi mereka yang kerap berulang-alik dari tempat kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.