Status Islam masih kukuh di bawah PH, kata pegawai khas Muhyiddin

Status Islam masih kukuh di bawah PH, kata pegawai khas Muhyiddin

Pegawai tugas-tugas khas kepada Muhyiddin, Marzuki Mohamad berkata, dalam menghadapi pelbagai kesukaran, kerajaan PH mesti merangkul kesederhanaan sebagai dasar utamanya dalam isu-isu berkaitan Islam.

Pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Dalam Negeri, Marzuki Mohamad.
PETALING JAYA:
Menegaskan kedudukan Islam tidak terhakis sama sekali sejak Mei 2018, pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, dalam menghadapi pelbagai kesukaran kebelakangan ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti merangkul kesederhanaan sebagai dasar utamanya dalam isu-isu berkaitan Islam.

Sehubungan itu menurut Marzuki Mohamad, kerajaan pusat PH yang dianggotai empat komponen dan dengan sokongan parti-parti di Sabah, perlu mengambil segala usaha untuk mengukuhkan “kedudukan tengah”.

“Ia tidak boleh bergerak jauh ke kanan untuk mengatasi lawannya atau beralih jauh ke kiri untuk menenangkan kumpulan pendesak. Sebaliknya, ia perlu mengukuhkan kedudukan tengah.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Mengenai Islam dan Politik Di Malaysia Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 pada Malaysia In Transition Seminar Serius, anjuran Iseas-Yusof Ishak Institute, Singapura semalam.

Kata beliau, Perlembagaan Persekutuan sendiri menyediakan keseimbangan kepada PH untuk mengurangkan kepentingan persaingan dari pelbagai komuniti di Malaysia.

“Selagi PH menegakkan kandungan dan semangat perlembagaan, ia akan berada dalam kedudukan yang baik untuk merangkul kesederhanaan sebagai dasar utama dan menjaga keharmonian sosial,” kata beliau.

subhead: Tingkat prestasi kerajaan
Beliau seterusnya berkata memandangkan PH kini menerapkan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030), yang bertujuan mempromosikan pertumbuhan ekonomi, menghapuskan jurang dalam masyarakat dan mengukuhkan perpaduan, tumpuan utama adalah meningkatkan prestasinya sebagai kerajaan.

PH kata beliau, harus menyediakan pertumbuhan ekonomi mampan, mewujudkan dasar betul yang akan membolehkan pelbagai segmen masyarakat berkongsi kek ekonomi secara adil dan saksama, menyediakan sekuriti dan keselamatan kepada rakyat, terus meningkatkan mutu pendidikan, penjagaan kesihatan dan penyampaian semua perkhidmatan lain, dan akhirnya meletakkan politik bangsa dan agama yang berpecah di belakang.

“Ini bukan tugas mudah. Ia mesti dilakukan dengan bijaksana dan hati-hati oleh pemimpin PH. Jadi, kerana itu, saya percaya dengan kebijaksanaan dan ketabahan, boleh dilakukan.”

Kata beliau, adalah dakwaan bahawa status agama Islam merosot sejak kerajaan PH memerintah, tetapi jawapannya adalah “tidak.”

Kata beliau, Islam masih merupakan agama persekutuan manakala raja-raja Melayu masih kekal sebagai ketua agama di negeri masing-masing, sekali gus menjalankan tugas dan fungsi mereka.

Malah kata beliau, tiada mana-mana enakmen Islam negeri yang dipinda atau dimansuhkan sebagai respons kepada permintaan kumpulan-kumpulan liberal.

“Tidak ada jabatan agama Islam persekutuan atau negeri yang dikecilkan atau dibubarkan.

“Sedangkan jabatan-jabatan ini dan institut Islam yang lain terus menerima dana kerajaan untuk tujuan operasi dan pembangunan.

“Sebagai contoh, dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima peruntukan RM904.4 juta, tambahan dari RM882.8 juta ia terima dalam Belanjawan 2019,” kata beliau.

Katanya, beliau tidak dapat membayangkan Kabinet dan badan perundangan, yang majoriti anggotanya orang Melayu dan Muslim, memutuskan untuk menghakis kedudukan perlembagaan Islam yang sudah lama wujud.

“Selain itu, di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Islam adalah perkara yang berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing.

“Perlindungan perlembagaan yang terbina dalam agama Islam tidak boleh dibuang dengan mudah. Selain itu, kewujudan birokrasi Islam yang besar akan menghalang sebarang percubaan untuk menghancurkan negara,” kata beliau lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.