Indonesia lancar agensi kemanusiaan global dengan dana RM848 juta

Indonesia lancar agensi kemanusiaan global dengan dana RM848 juta

Agensi Pembangunan Antarabangsa Indonesia platform sangat berharga bagi diplomasi untuk memperkukuh kehadiran Jakarta di peringkat dunia, kata Menteri Luar Retno Marsudi.

Majlis pelancaran Agensi Pembangunan Antarabangsa Indonesia atau dikenali sebagai AID Indonesia dengan dana RM848 juta, semalam. (Gambar Jakarta Globe)
JAKARTA:
Indonesia semalam melancarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa, dengan peruntukan AS$212 juta (RM848 juta), dana endowmen dan pembangunan bertujuan membantu mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan sosial di seluruh dunia.

Agensi itu, yang turut dikenali sebagai AID Indonesia, mirip USAID, merupakan langkah bagi mencerminkan Indonesia juga salah satu ekonomi terbesar di dunia, walaupun pengumuman inisiatif itu dibuat agak lewat.

“Ini adalah platform sangat berharga bagi diplomasi Indonesia untuk memperkukuh kehadiran kita di peringkat antarabangsa.

“Indonesia kini dapat berbicara dalam perkembangan antarabangsa,” kata Menteri Luarnya, Retno Marsudi semasa berucap melancarkan agensi itu, semalam.

Naib Presiden Jusuf Kalla, Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati dan Pengerusi Badan Perancangan Pembangunan Nasional (Bappenas), Bambang Brodjonegoro turut hadir pada majlis pelancaran, lapor Jakarta Globe.

Jusuf berkata program itu sudah lama tertangguh kerana ekonomi Indonesia telah berkembang enam kali sehingga mencecah AS$1 trilion dalam dua dekad lalu.

“Ini adalah langkah sangat penting bagi kami kerana ekonomi kita terus berkembang, kini kita adalah sebahagian daripada negara G20, kita perlu mula membantu negara-negara lain yang memerlukan,” kata beliau, lapor portal itu.

Dalam pada itu, Retno pula berkata pada tahun ini, AID Indonesia telah menyediakan bantuan kepada lima negara Pasifik – Tuvalu, Nauru, Pulau Solomon, Kiribati dan Fiji selain Myanmar dan Filipina, yang merupakan negara anggota Asean.

Laporan Jakarta Globe juga berkata Bappenas dan Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab untuk menguruskan dana program ini.

“Dana endowmen ini akan dikeluarkan dari belanjawan negara, dan kita akan menggunakan faedah yang meningkat setiap tahun, dan kita sudah mencapai Rp3 trilion (AS$212 juta) setakat ini,” kata Retno.

Agensi itu akan memfokus kepada pemberian bantuan semasa bencana alam dan untuk krisis kemanusiaan.

Dengan berbuat demikian akan membolehkan AID Indonesia membantu mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan sosial antara negara maju dan negara-negara sedang membangun, kata laporan. Ini akan meningkatkan penyertaan Indonesia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pada majlis yang sama Retno mengumumkan Indonesia telah dipilih untuk menduduki Majlis Hak Asasi Manusia PBB dari 2020 hingga 2022. Ini adalah kali kelima Indonesia dipilih menyertai majlis itu.

“Kami menerima undi paling banyak, 174 undi daripada sejumlah 193 negara,” kata Retno. Indonesia secara rasminya akan menyertai majlis itu pada 1 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.