
“Demi Allah, saya bersumpah akan memenuhi kewajiban Presiden Republik Indonesia dengan sebaik- baiknya dan seadil- adilnya, memegang teguh Undang-undang Dasar dan menjalankan segala undang-undang peraturannya dengan selurus-lurusnya serta berbakti kepada nusa dan bangsa,” lafaz Joko semasa pelantikan itu pada 4.04 petang waktu Indonesia Barat (5.04 petang waktu Malaysia).
Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali antara 17 pemimpin dan ketua negara yang hadir pada majlis pelantikan Joko dan naib presiden Indonesia, Ma’aruf Amin.
Pemimpin dan ketua negara lain yang hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia Scott Morrison dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Joko kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi penggal keduanya selepas memenangi pilihan raya presiden 2019 pada 17 April lepas.
Joko bergandingan dengan Ma’aruf Amin, 76, menewaskan pencabar mereka, pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.
Kehadiran Mahathir manifestasi kekukuhan hubungan akrab kedua-dua pemimpin dan negara, dan pelantikan Joko untuk penggal kedua akan membawa lembaran baru dalam hubungan Malaysia-Indonesia.
Keakraban hubungan dua hala terserlah menerusi keakraban dua pemimpin itu apabila Mahathir menjadikan Indonesia negara pertama Asean yang dilawatinya (Jun 2018) selepas memenangi pilihan raya umum 2018.
Manakala Joko menjadikan Malaysia negara pertama dilawatinya pada 8 Ogos lepas, selepas menang pilihan raya presiden.