5 individu saman PTPTN, PH kerana gagal tunai janji PRU

Peguam Adnan Seman, mewakili plaintif, berkata saman berkenaan merujuk kepada janji manifesto calon PH yang tidak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan.

PETALING JAYA: Lima individu memfailkan saman terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini atas alasan telah memungkiri janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Andy Putra Haris, 28; Farah Athirah Kamarozaman, 28; Mohamad Asrol Md Jailan, 27; Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27 dan Mohammad Awad Sobri, 34.

Mereka turut menuntut penangguhan pembayaran balik pinjaman itu, lapor BH Online.

Saman secara dalam talian oleh Tetuan Adnan Sharida & Associates itu menamakan PTPTN sebagai defendan pertama, PH selaku defendan kedua dan kerajaan sebagai defendan ketiga.

Laporan itu memetik peguam Adnan Seman, yang mewakili kelima-lima plaintif, berkata saman berkenaan merujuk kepada janji manifesto calon PH pada PRU14 yang tidak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari seperti mana dijanjikan.

Menurutnya, antara janji manifesto itu ialah penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan.

Plaintif mendakwa janji defendan kedua iaitu PH, yang menerajui kerajana pusat, yang terkandung dalam Buku Harapan adalah kontrak yang mengikat plaintif serta masyarakat untuk mengundi PH pada PRU14.

Dua janji dalam manifesto PH ialah memansuhkan larangan perjalanan ke luar negara dan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Larangan perjalanan ke luar negara dibatalkan sejurus PH memenangi PRU14 dan janji kedua akan dibincangkan Kabinet selepas pihaknya menyerahkan kertas konsultasi rakyat yang mengandungi maklum balas orang ramai.

Dalam writ saman itu, plaintif turut menuntut satu pengisytiharan bahawa janji pilihan raya dan manifesto adalah satu kontrak yang mengikat parti politik jika memenangi PRU14.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan diarah menangguhkan pembayaran balik PTPTN semua peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi pengajaran, kos dan lain-lain relif.

Minggu lalu, Gerakan Manifesto Nasional (GMN) melancarkan petisyen dalam talian yang meminta rakyat Malaysia menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan manifesto PRU14.

GMN mendakwa manifesto sepatutnya adalah satu aku janji kontrak dan bukan sekadar dokumen janji-janji kosong parti politik untuk menipu atau memperdaya rakyat seperti apa yang berlaku pada PRU14.