
Beberapa anggota polis memberitahu FMT mengenai cabaran mereka dalam menjalankan tugas pentadbiran termasuk mengendalikan laporan polis.
Seorang pegawai di sebuah balai polis berkata kerosakan sistem pelaporan polis “agak kerap” sehingga ia diberi jolokan “System Down 1Malaysia”.
Apabila sistem rosak, orang ramai yang ingin membuat laporan diminta untuk datang semula pada waktu lain, kadang kala beberapa jam kemudian.
Pergi ke balai polis yang berbeza tidak akan memberi perbezaan kerana sistem pelaporan adalah terpusat.
“Kami tidak boleh mengambil laporan bertulis kerana nombor laporan dihasilkan oleh sistem pusat dan laporan ini perlu ditandatangani secara peribadi. Setiap kali ia berlaku, kami terpaksa arahkan orang ramai balik. Kadang-kadang orang yang datang ingin membuat laporan insiden penting seperti kemalangan.”
Pegawai itu berkata usaha mereka melaporkan masalah itu kepada pihak atasan juga “sia-sia”.
“Saya harap ahli Parlimen kita dapat membangkitkan isu ini di Parlimen supaya kita boleh dapat bajet untuk membaikinya.”
Di media sosial, ramai pengguna juga berkongsi di mana percubaan mereka membuat laporan polis tidak berjaya disebabkan oleh kerosakan sistem pelaporan.
Pegawai lain dari stesen yang berlainan di Selangor berkata tugas mereka rumit kerana kekurangan bekalan pejabat.
“Saya beli mesin pencetak untuk stesen ini menggunakan duit sendiri.”
Ini bukan kali pertama masalah itu timbul. Pada Ogos, Straits Times Singapura melaporkan pegawai berpangkat rendah membeli kertas A4 dan dakwat mesin pencetak menggunakan wang mereka sendiri untuk menjalankan tugas.
Seorang pegawai pangkat tinggi yang enggan mendedahkan nama mengesahkan pasukan polis berdepan cabaran itu.
“Bayangkan macam ini, kereta makin banyak tetapi tidak ada bajet yang cukup untuk membesarkan jalan. Itulah masalahnya.”
FMT sedang mendapatkan komen daripada pasukan polis.