Arah polis jangan halang hak pengadu atas sebab pakaian

Arah polis jangan halang hak pengadu atas sebab pakaian

Menteri Gobind Singh Deo minta semua SOP sedia ada yang boleh halang akses orang awam kepada balai polis untuk buat laporan dikaji semula.

Menteri Gobind Singh Deo kata pakaian tidak boleh jadi asas dalam menentukan sama ada seseorang boleh buat laporan atau tidak.
PETALING JAYA:
Menteri Gobind Singh Deo menggesa Ketua Polis Negara Khalid Ismail mengeluarkan arahan yang jelas kepada semua balai polis agar tidak halang hak mangsa atau pengadu untuk melaporkan kemalangan atau jenayah atas sebab pakaian.

Menteri digital berkata orang ramai tidak dapat menjangkakan jenayah akan berlaku, justeru pakaian tidak boleh menjadi asas dalam menentukan sama ada seseorang boleh membuat laporan atau tidak.

“Yang penting ialah sesuatu kejadian telah berlaku, kejadian itu perlu dilaporkan, dan tindakan perlu diambil untuk tangani kejadian itu tanpa lengah.

“Pihak polis tidak berhak mengenakan piawaian yang unilateral, sewenang-wenang atau tidak munasabah ke atas sesiapa,” menurut kenyataan.

Kenyataan Gobind ini muncul selepas Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, mengingatkan orang ramai mematuhi garis panduan etika pakaian rasmi ketika ke kaunter membuat aduan.

Bagaimanapun, beliau berkata polis beri kelonggaran bagi kes melibatkan kecemasan serta memerlukan tindakan pantas.

Kenyataan Dzulkhairi menyusul laporan seorang wanita dilarang memasuki sebuah IIPD di Melaka semalam kerana pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk premis kerajaan.

Dua wanita tiba untuk membuat laporan berhubung kemalangan jalan raya, namun pegawai di pintu depan meminta mereka pulang menukar pakaian bersesuaian memandangkan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. Wanita itu datang semula ke balai polis bersama ibunya dengan berpakaian lebih sopan dan dibenarkan masuk membuat laporan.

Gobind mengkritik tindakan polis Jasin dalam kejadian tersebut, mengatakan ia salah guna kuasa dan menghalang keadilan, memandangkan orang ramai dikehendaki memfailkan laporan apabila kejadian berlaku.

Beliau akan membangkitkan perkara ini dengan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dan meminta semua tatacara operasi standard sedia ada yang boleh menghalang akses orang awam kepada balai polis untuk membuat laporan dikaji semula. “Kita mesti memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” tambahnya.

Sementara itu, seorang peguam, Rajesh Nagarajan, mahu polis menarik balik dasar kod pakaian dengan serta-merta, kerana mereka tidak seharusnya terlibat dalam penguatkuasaan moral dan mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan undang-undang, melindungi rakyat, dan memastikan akses kepada keadilan.

Beliau berkata orang ramai akan hilang kepercayaan terhadap polis apabila mereka mula melihat pasukan itu bukan sebagai pelindung hak yang neutral, tetapi sebagai penentu moral.

“Ini melemahkan kesahan polis, dan akhirnya menjejaskan keselamatan awam. Orang yang memerlukan bantuan mungkin berdiam diri, enggan mencari penyelesaian atau perlindungan,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.