Surau unik yang diberi nama “Langgar Rindu” bukan sahaja mempunyai seni binaan unik tetapi juga mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri yang melambangkan kesungguhan dan keikhlasan.
Rata-rata pelancong yang berkunjung ke surau “Langgar Rindu” yang kini menjadi tumpuan dari dalam dan luar negara selepas ia tular di media sosial baru-baru ini.
Surau yang dimiliki Abdul Karim Embong, 60, itu terletak di jalan utama Kuala Terengganu-Merang di Kampung Rhu Tapai, mampu memukau pandangan sesiapa sahaja yang melihat struktur binaannya apatah lagi ia diperbuat daripada kayu tembesu dan kayu cengal sepenuhnya.
Katanya, pelancong paling jauh adalah pasangan suami isteri dari Jepun yang singgah ke Malaysia selepas ke Bali, Indonesia dan sempat menyatakan kepadanya bahawa “Langgar Rindu” adalah binaan paling unik pernah dilihat, meskipun telah melancong ke seluruh pelusuk dunia.
“Selain itu ada juga pasangan muslim dari Austria yang sanggup datang ke kampung ini setelah melihat video ‘Langgar Rindu’ di Youtube. Mereka juga mahu meninggalkan anak mereka di Madrasah Al Insan Saka Iman, milik saya, untuk diberi didikan agama.
“Namun, mereka agak kecewa kerana saya maklumkan madrasah tersebut hanya akan beroperasi Januari depan dan saya mengesyorkan mereka menghantar anak mereka ke sebuah madrasah di Gemuruh, Kuala Nerus kerana madrasah itu mempunyai ramai pelajar antarabangsa,” katanya memetik laporan Bernama.
Dek kerana keunikan “Langgar Rindu” yang memukau pandangan itu, ia turut mendapat perhatian pengunjung bukan Islam yang sangat mengkagumi keindahan seni binanya untuk merakam foto dan video sebagai kenangan apabila berkunjung ke Terengganu.
Katanya, kebanyakan pelancong menyangka “Langgar Rindu” adalah rumah persendirian namun terkejut apabila diberitahu ia adalah surau dan tempat belajar agama.
“Namun, apa yang menyentuh hati saya kerana mereka (bukan islam) turut memberi sumbangan kewangan kepada saya dengan alasan apa yang dilakukan ini adalah satu usaha yang baik, tambahan pula mereka sangat kagum kerana sepanjang berada di ‘Langgar Rindu’, hati seolah-lah begitu dekat dengan alam,” katanya.
Ketika ini, pembinaan “Langgar Rindu” sudah mencecah 70% dan Abdul Karim mahu meneruskan pembinaan satu lagi serambi, kubah dan bahagian bawah surau itu secepat mungkin.
“Selepas Langgar Rindu siap, saya mahu membina rumah inap untuk dimanfaatkan oleh musafir secara percuma. Bagi orang Islam tempoh musafirnya tiga hari dan saya mahu memberinya secara percuma.
“Bagi bukan Islam pula, tiada had tempoh masa untuk mereka, namun yang penting mereka menghormati adab bertamu di perkampungan masyarakat Islam,” katanya yang sama sekali tidak menyangka Langgar Rindu berjaya menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu di Terengganu ketika ini.
Menceritakan permulaan dan motif pembinaan “Langgar Rindu”, Abdul Karim berkata ia adalah lambang cinta seorang hamba kepada penciptaNYA dan “Langgar Rindu” juga adalah satu persembahan puisi nyata bagi menzahirkan kekaguman terhadap kehebatan Allah SWT.
Beliau yang juga seorang penyair dengan nama pena Arif Karimi, memaklumkan memulakan pembinaan “Langgar Rindu” sejak Julai tahun lalu secara berseorangan dengan menggunakan tulang empat keratnya tanpa sebarang pelan pembinaan.
Bapa kepada enam anak itu juga mendedikasikan “Langgar Rindu” sebagai penghargaannya kepada kedua ibu bapa dan isteri yang begitu banyak berjasa dalam mendidiknya.
“Idea ini adalah ilham yang dianugerahkan Allah SWT. Seperti mana saya menghasilkan lebih 300 puisi setakat ini, begitu juga saya membina Langgar Rindu…semuanya secara spontan dengan bantuan ilham.
“Alhamdulillah, bermula Disember tahun lepas, saya dibantu cucu sepupu yang agak mahir dalam bidang pertukangan dan dialah banyak membantu saya menyiapkan binaan Langgar Rindu ini,” katanya.
Surau tersebut adalah sebahagian komponen dari Madrasah Al Insan Saka Iman yang diasaskan Abdul Karim dengan niat mahu menyediakan pendidikan agama secara percuma kepada remaja yang berminat dengan pengambilan pertama 20 pelajar pada Januari tahun depan.
“Langgar Rindu ini akan menjadi tempat mereka belajar segala ilmu agama dan menjadi tempat istirehat untuk para musafir berhenti menunaikan solat serta melepaskan lelah.
“Niat saya ikhlas semata-mata hanya kerana Allah kerana saya tidak punya harta…hanya ada tulang empat kerat untuk di wakaf kepada agama dan semua yang ada di atas muka bumi ini,” katanya yang mengakui pembinaan surau itu ada kala tergendala akibat kekangan wang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]