JPJ: 60,000 pemandu e-panggilan lulus lesen PSV

JPJ: 60,000 pemandu e-panggilan lulus lesen PSV

JPJ juga meluluskan kursus latihan secara dalam talian di beberapa pusat dibenarkan.

JPJ menjangkakan semua pemandu e-panggilan akan memiliki lesen PSV menjelang hujung tahun ini.
LABUAN:
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Shaharuddin Khalid berkata, sehingga kini lebih daripada 60,000 pemandu e-panggilan lulus Lesen Vokasional Malaysia (PSV) seperti yang diwajibkan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, pada masa ini selain pendaftaran bagi mendapatkan lesen berkenaan yang berterusan setiap hari, JPJ juga meluluskan kursus latihan secara dalam talian di beberapa pusat dibenarkan.

“Kami secara berterusan mengadakan pendaftaran dan peperiksaan secara ramai-ramai untuk pemandu e-panggilan. Jadi kami boleh mempercepatkan proses menyediakan mereka dengan lesen yang diperlukan.

Di Lembah Klang sahaja, kira-kira 2,000 pemandu e-panggilan menduduki peperiksaan setiap minggu. Kami mendapat sambutan amat menggalakan daripada mereka yang menjalankan operasi perniagaan e-panggilan.

“Kami tidak lihat sebarang masalah dan pada hujung tahun ini, kami jangkakan, kesemua pemandu e-panggilan akan mempunyai lesen PSV,” katanya selepas program JPJ bersama media di sini semalam.

Shaharuddin berkata, sehingga kini sejumlah 74,876 kenderaan didaftarkan JPJ di pulau bebas cukai dengan 1,577 buah kenderaan didaftarkan dari Januari hingga 24 Okt.

“Ini menunjukkan pendaftaran kenderaan baru di Labuan berterusan dan kami mahu memastikan kesemua kenderaan yang didaftarkan, mengikut peraturan dan undang-undang yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh yang sama, seramai 1,801 pemandu baru lulus lesen memandu masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.