Disyaki cemas diperhati pemandu e-panggilan, wanita terjun kereta

Disyaki cemas diperhati pemandu e-panggilan, wanita terjun kereta

Polis berkata wanita itu dikatakan cemas selepas mendakwa pemandu memerhatikannya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab jelas.

terjun mat
Tangkap layar rakaman papan pemuka kenderaan lain menunjukkan seorang wanita membuka pintu dan terjun dari kenderaan sedang bergerak di kawasan Taman Eng Ann, Klang, semalam.
PETALING JAYA:
Cemas dan bimbang dengan keselamatan diri dipercayai punca seorang wanita terjun dari sebuah kenderaan e-panggilan bergerak di kawasan Taman Eng Ann, Klang, semalam.

Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao, berkata laporan diterima kira-kira 9 pagi Jumaat daripada seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang juga pemandu e-panggilan.

“Ketika kejadian, pemandu terbabit dalam perjalanan menghantar dua penumpang, sebelum salah seorang wanita tiba-tiba membuka pintu kanan belakang lalu terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak.

“Pemandu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati penumpang wanita berkenaan mengalami kecederaan ringan,” katanya menurut Sinar Harian.

“Susulan kejadian itu, pemandu berkenaan membatalkan pesanan e-panggilan tersebut sebelum wanita terbabit dibantu seorang penunggang motosikal untuk dihantar ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan.”

Beliau berkata, pemandu itu kemudian membuat laporan polis.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati wanita itu dikatakan cemas selepas mendakwa pemandu itu memerhatikannya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab jelas.

“Kita sedang berusaha mengesan penumpang wanita terbabit bagi membantu melengkapkan siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.”

Terdahulu, rakaman papan pemuka kenderaan lain menunjukkan wanita itu membuka pintu dan terjun dari kenderaan terbabit.

Pemandu e-panggilan segera memberhentikan kenderaannya, sebelum rakan wanita itu keluar membantunya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.