Lebih 60 kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

Lebih 60 kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

Hujan lebat mulai 4 hingga 6 petang turut menyebabkan beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Penduduk mengharungi banjir kilat selepas hujan lebat di Kampung Permatang Rawa hari ini. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Banjir kilat dan pokok tumbang di beberapa kawasan di Pulau Pinang selepas hujan lebat dan angin kencang petang tadi.

Hujan lebat yang bermula 4 hingga 6 petang itu turut menyebabkan beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air kira-kira 0.5 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, taburan hujan sehingga 90 milimeter dalam tempoh sejam dan sistem perparitan yang tidak dapat menampung aliran air menyebabkan kawasan rendah dilanda banjir kilat.

“Sekurang-kurangnya 52 kawasan dan jalan raya di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara mengalami banjir kilat, antaranya Juru, Mak Mandin, Tanah Liat, Padang Lalang dan Lebuhraya Utara Selatan dari Sungai Dua hingga Permatang Pauh.

“Kawasan yang mengalami banjir kilat itu dinaiki air antara 0.1 hingga 0.5 meter, manakala Jalan Permatang Tinggi, Jalan Tok Kangar dan Jalan Hutan Petai ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air,” katanya di sini malam ini.

Phee berkata, sebuah rumah di Kampung Permatang Sintok, Penaga, turut rosak selepas sebahagian bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut kira-kira 4.30 petang.

Katanya, bahagian dapur rumah itu turut dimasuki air selepas bumbung diterbangkan ribut dan keluarga terbabit kini menumpang di rumah saudara mereka.

Beliau berkata, lebih 10 kawasan di daerah Timur Laut, iaitu bahagian Pulau turut dilanda banjir kilat, antaranya Jalan P Ramlee, Jalan Van Pragh, Jalan Terengganu, Lorong Hijau dan Kampung Dodol.

“Semua agensi seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa dalam keadaan bersiap sedia, termasuk jika perlu akan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Timur Laut.”

Phee berkata, sehingga 8.30 malam tadi, jumlah mangsa banjir di tiga PPS Bukit Mertajam kekal 94 orang.

Katanya, 46 orang daripada 10 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun, manakala 22 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat Tok Suboh.

beliau berkata, PPS Tadika Kemas Kampung Manggis menempatkan 26 orang daripada tujuh keluarga.

“Beberapa kawasan di Bukit Mertajam masih hujan malam ini, namun tidak selebat petang tadi dan kami akan terus memantau dari semasa ke semasa kerana kira-kira 12 tengah malam ini, air laut pasang besar dan jika hujan lebat, kemungkinan boleh berlaku banjir kilat di kawasan rendah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.