Azmin tepis laporan badan pemikir dakwa PM ‘cengkam’ GLC

Azmin tepis laporan badan pemikir dakwa PM ‘cengkam’ GLC

Perdana menteri sudah menugaskan kerja dan kuasanya kepada kementerian-kementerian, kata Azmin.

Mohamed Azmin Ali.
KUALA LUMPUR:
Mohamed Azmin Ali menepis laporan sebuah badan pemikir yang mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempunyai cengkaman kuat ke atas sektor korporat susulan apa yang dikatakan penyusunan semula yang “terselindung”.

Walaupun beberapa agensi pernah berada bawah Jabatan Perdana Menteri, Azmin berkata perdana menteri sudah menugaskan kerja dan kuasanya kepada kementerian-kementerian lain.

“Dalam Kabinet, kita bincang banyak isu. Saya fikir Mahathir telah memberikan kepimpinan pada anggota Kabinet,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Azmin meminta pemberita faham bahawa anggota Kabinet masih kurang pengalaman, oleh itu mereka perlukan Mahathir untuk terus memimpin mereka “untuk tahun-tahun akan datang”.

“Kami bersedia untuk belajar, kami komited untuk bekerja sebagai satu pasukan,” tambahnya.

Dalam pembentangan laporan mengenai GLC yang disediakan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), ahli ekonomi Edmund Terence Gomez menyeru ketelusan dan kebertanggungjawaban lebih tinggi terhadap syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata kawalan sebenar perusahaan-perusahaan penting kerajaan bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, termasuk Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad dipindahkan ke JPM.

Katanya lagi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (KHEE), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dan Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU) memainkan peranan penting dalam memastikan cengkaman perdana menteri ke atas sektor korporat.

“JPM kawal perniagaan-perniagaan besar. KHEE kawal GLC Bumiputera.

“KPLB kawal badan-badan berkanun, memberikan mereka pengaruh yang ketara di kawasan luar bandar, dan KPU kawal industri perusahan kecil dan sederhana.

“Keseluruhan sektor korporat bawah kawalan PPBM, dan dengan Azmin,” kata Gomez, yang juga menggelar Mahathir “menteri kewangan de facto”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.