
Perjanjian itu ditandatangani sempena sidang kemuncak Asean ke-35, yang berlangsung di sini, bertujuan untuk meningkatkan pelaburan, pembinaan kapasiti dan pendidikan sukan di rantau ini, khususnya melalui Program Bola Sepak Untuk Sekolah Fifa.
“Selepas beberapa dekad perbincangan antara semua negara Asean, akhirnya, kami mendapati satu topik menyatukan semua orang iaitu bola sepak,” kata Presiden Fifa, Gianni Infantino pada majlis menandatangani perjanjian itu, lapor Reuters.
Majlis menandatangani MoU dibuat selepas pemimpin Asean awal tahun ini menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 secara kolektif.
Asia telah mengadakan pameran antarabangsa bola sepak sekali ketika Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama pada 2002, ketika kejohanan itu dihoskan oleh lebih dari satu negara.
Idea Asean menjadi tuan rumah Piala Dunia mula diperkatakan awal dekad ini dan penyokong mengatakan ia langkah yang dapat membantu profil dan integrasi rantau ini.

“Menerusi MoU ini, kami menantikan komuniti bola sepak dan sukan yang lebih kuat di rantau ini yang membina identiti serantau dan rasa masyarakat unik,” kata Setiausaha Agung Asean, Lim Jock Hoi.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, MoU itu akan menjadikan sukan bola sepak sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial dan gaya hidup sihat di rantau ini.
Jalinan kerjasama tersebut ditandatangani oleh Infantino dan Lim di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT di sini.
Majlis itu turut disaksikan oleh pemimpin-pemimpin 10 negara anggota Asean, termasuk Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Presiden FA Thailand, Somyot Poompunmuang dipetik Bangkok Post berkata, Infantino juga akan menandatangani MoU dengan Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Vietnam yang menyatakan hasrat untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 secara bersama.
“Semasa Sidang Kemuncak Asean yang sedang berlangsung, presiden Fifa akan menandatangani MoU dengan negara-negara Asean, menyokong rancangan bersama mereka untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Fifa,” kata Somyot.
Langkah itu akan menjadi satu lagi langkah ke arah yang betul untuk bidaan bersama yang dicadangkan ASEAN untuk menjadi tuan rumah kejohanan pertunjukan.
Sementara itu, Lim berkata bola sepak mengikat kesemua 650 juta penduduk di rantau ini sebagai satu komuniti.
“Bola sepak adalah kaedah strategik untuk menyatukan rakyat, mempromosikan hubungan antara rakyat dan menjadikan Asean sebagai satu komuniti yang kukuh,” katanya pada majlis itu.
Dalam pada itu, Infantino berkata bola sepak adalah komponen penting dalam pembangunan sosial, integrasi dan nilai-nilai kesukanan di rantau ini.
Beliau berkata sukan tersebut telah memberi harapan dan keseronokkan kepada golongan belia di rantau ini.
“ Kita tidak sabar untuk melihat sebuah komuniti bola sepak dan kesukanan yang lebih kuat di rantau ini,” katanya.