Arab Saudi setuju beri biasiswa, hantar guru jalani latihan di Malaysia

Arab Saudi setuju beri biasiswa, hantar guru jalani latihan di Malaysia

Arab Saudi juga akan menghantar guru ke Malaysia untuk menjalani latihan dalam tiga subjek iaitu bahasa Inggeris, matematik dan sains.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau dari Arab Saudi Dr Hamad Mohammed Al Shaikh untuk bertukar pandangan mengenai sistem pendidikan kedua-dua negara. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk memberikan biasiswa kepada 300 mahasiswa negara ini yang terlibat dalam bidang sains dan teknologi.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata, negara itu juga bersetuju untuk menghantar guru mereka menjalani latihan di Malaysia bagi mempersiapkan sistem pendidikan mereka menghadapi pendidikan abad ke-21.

“Guru-guru mereka daripada tiga subjek iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan dihantar ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman mengajar di sini.

“Malaysia amat menghargai kesungguhan Arab Saudi dalam perbincangan berkenaan dan yakin kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan baik kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, persetujuan berhubung kedua-dua perkara tersebut dicapai sewaktu kunjungan Menteri Pendidikan Maszlee Malik ke atas raja Arab Saudi, Raja Sulaiman Abdulaziz Al Saud semalam.

Maszlee yang diutus khas oleh perdana menteri untuk pertemuan itu turut mengambil peluang bertemu Menteri Pendidikan Arab Saudi Dr Hamad Mohammed Al Shaikh untuk bertukar pandangan dan buah fikiran mengenai sistem pendidikan negara masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.