CEO PSI guna RM70,000 wang 1MDB untuk kopi Starbucks, kata saksi

CEO PSI guna RM70,000 wang 1MDB untuk kopi Starbucks, kata saksi

Saksi memberitahu mahkamah bahawa CEO PetroSaudi International Ltd, Tarek Obaid telah mengarahkan supaya AS$83 juta (RM343.3 juta) dipindahkan ke akaun peribadinya selepas PSI menerima AS$500 juta (RM2.07 bilion) daripada 1MDB pada Sept 2010.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi meneruskan keterangan dalam kes 1MDB.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid telah mengarahkan supaya AS$83 juta (RM343.3 juta) dipindahkan ke akaun peribadinya selepas PSI menerima AS$500 juta (RM2.07 bilion) daripada 1MDB pada Sept 2010.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian semasa dirujuk kepada satu dokumen oleh peguam yang mewakili Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-32 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berkaitan dana 1MBD.

Muhammad Shafee: AS$500 juta telah ke PSI. Kira-kira seminggu kemudian, beliau (Tarek) mengarahkan AS$83 juta daripada jumlah itu dipindahkan ke akaun peribadinya?

Shahrol Azral : Ya, ke akaun peribadinya.

Menurut satu lagi dokumen, Tarek kemudiannya turut mengarahkan pegawai bank peribadinya supaya memindahkan jumlah yang bersamaan kira-kira RM340 juta, daripada akaunnya ke Good Star Ltd, syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi pendakwaan kesembilan itu yang telah memberi keterangan sejak 23 Sept berkata beliau tidak tahu mengenai pindahan dana berkenaan kerana tidak boleh melihat akaun berkenaan.

Muhammad Shafee: Jadi kamu tidak boleh mengesahkan bagaimana wang itu digunakan?

Shahrol Azral: Ya. Saya tidak boleh mengesahkan.

Sewaktu memberi penjelasan lanjut, saksi berusia 49 tahun itu berkata apabila beliau disiasat oleh pihak berkuasa, beliau hanya ditunjukkan jejak wang ‘peringkat tinggi’ daripada 1MDB, ke syarikat yang ada kaitan dengan Jho Low seperti Good Star Ltd dan entiti Aabar BVI.

Kemudian, semasa dirujuk satu lagi dokumen, Shahrol Azral menarik perhatian Muhammad Shafee berhubung perbelanjaan sebanyak AS$17,000 (RM70,320) oleh Tarek dan dikenakan kepada PSI.

Jumlah AS$17,000 itu digunakan bagi bayaran untuk kopi Starbucks.

“Banyaknya untuk kopi,” kedengaran Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan bersuara.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.