Tuduhan rasuah projek permit masuk kenderaan bermotif politik, kata Wee

Tuduhan rasuah projek permit masuk kenderaan bermotif politik, kata Wee

Wee Jeck Seng berkata situasi itu sama seperti PRK Rantau di mana calon BN Mohamad Hasan didakwa terlibat rasuah berhubung pembelian pangsapuri di luar negara.

Calon BN, Wee Jeck Seng.
PONTIAN:
Calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng berkata laporan polis terhadap beliau yang didakwa terlibat dengan rasuah dalam projek Permit Masuk Kenderaan (VEP) disifatkan sebagai bermotif politik.

Beliau berkata situasi itu sama dengan apa yang berlaku ketika PRK Rantau sebelum ini apabila laporan polis dibuat terhadap calon BN, Mohamad Hasan yang didakwa terlibat rasuah berhubung pembelian pangsapuri di luar negara.

“Setelah berakhirnya PRK Rantau, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya membersihkan nama beliau dan pihak lawan pula tidak lagi membangkitkan isu tersebut.

“Ditegaskan dakwaan yang dibuat terhadap saya yang mengaitkan dengan projek VEP ini sebenarnya bukanlah perkara baru malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah pun membuat pendengaran sebanyak 3 kali sejak Mac tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan dan ketika ditemui selepas ceramah BN di Kampung Penerok, Kukup.

Semalam, penyokong Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis ke atas Wee bagi mendesak isu kontrak melibatkan Kementerian Pengangkutan bernilai RM150 juta disiasat segera.

Ketua Urusetia Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Haji Ismail, Faisal Yunus berkata gesaan itu dibuat susulan Wee didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pemimpin MCA dan bekas pemegang saham syarikat TCSens Sdn Bhd bagi dianugerahkan kontrak secara rundingan terus pada 2014.

Wee berkata banyak tuduhan yang disebarkan ketika ini adalah tidak berasas dan perkara itu telah pun dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.

Beliau berkata, misalnya tuduhan mengatakan syarikat yang berjaya mendapatkan projek berkenaan hanya memiliki RM35 juta dalam akaun bank.

“Walhal laporan ketua audit mengatakan syarikat terbabit memiliki lebih daripada RM3 juta dan melepasi kelayakan minima sebagaimana yang disyaratkan.

“Tuduhan yang mengatakan kos operasi meningkat tinggi juga tidak tepat kerana ia sebenarnya disebabkan oleh peningkatan dalam skop yang ketara termasuk lebih daripada dua kali ganda kapasiti dalam beberapa keperluan,” katanya.

Tambahnya, Laporan Audit juga menyatakan projek itu berjaya mengumpul lebih RM177 juta hasil untuk kerajaan sejak ia dilaksanakan pada 2016 sehingga Jun 2018.

Katanya, bagi menepis keraguan, beliau tidak pernah menjadi pengarah untuk syarikat dan tidak lagi memegang apa-apa saham dalam syarikat berkenaan.

“Saya tidak sesekali terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam. Saya amat yakin PAC dan pihak polis pastinya akan membersihkan nama saya.

“Dalam masa sama, saya menggesa pihak lawan dalam PRK ini supaya berjuang dengan adil bersandarkan idea, dasar dan komitmen untuk rakyat.

“Semua pihak seharusnya menghentikan taktik kotor dan kembali kepada fokus utama iaitu berkhidmat untuk rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.