
Seruan itu dibuat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, agar PLUS mengambil kira pandangan pengguna supaya mereka kekal diberi pilihan.
“Saya kira pandangan pengguna penting diberikan perhatian kerana kemudahan yang disiapkan itu untuk memberikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya.
“Saya berharap pengurusan dapat meneliti semula keputusan tersebut dengan mengambil kira pandangan pengguna lebuh raya dan mereka harus menyediakan pilihan bagi kemudahan pengguna,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Sabtu lalu, PLUS memutuskan untuk menutup perkhidmatan tambah nilai Touch ‘N Go di semua lorong keluar plaza tol di lebuh raya di negara ini.
Dalam satu kenyataan, PLUS memaklumkan pendekatan itu diambil untuk mengurangkan kesesakan disebabkan urusan tambah nilai di lorong tol di semua plaza tol di wilayah utara dan wilayah selatan.
Langkah PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai bertujuan meningkatkan keselamatan pembantu perkhidmatan pelanggan PLUS kerana kemalangan membabitkan kenderaan berat merempuh pondok tol kerap berlaku.
Keputusan PLUS itu mendapat rungutan pelbagai pihak yang menyatakan ia menyukarkan pengguna.