
Pelajar itu antara lain menentang larangan bertopeng oleh kerajaan pada bulan lalu sebagai usaha mengekang rusuhan yang berlarutan lebih lima bulan.
Rata-rata pelajar berkenaan yang berpakaian jubah rasmi konvokesyen berarak dari stesen metro ke lokasi majlis sambil menyanyi dan menyeru kerajaan memberi respons terhadap tuntutan penunjuk perasaan.
Tunjuk perasaan di Hong Kong bermula dengan cadangan rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan penduduk bandar raya itu ke tanah besar China untuk dibicarakan, namun dibatalkan kemudian.
Bantahan itu bagaimanapun berkembang kepada tuntutan demokrasi yang lebih luas dan siasatan bebas terhadap aduan mengenai kekerasan yang dilakukan oleh polis.
“Yang paling penting adalah kita semua mengingati lima tuntutan, walaupun kita semua kepenatan tetapi kita tidak akan berputus asa,” kata Kelvin, seorang graduan kejuruteraan maklumat berusia 22 tahun.
Protes antikerajaan yang berlarutan berbulan-bulan itu telah menjerumuskan bekas tanah jajahan British tersebut ke dalam krisis terbesar dekad ini, tanpa sebarang tanda menunjukkan penunjuk perasaan hendak menamatkannya.
Di peringkat rakyat bawahan, mereka melihat kerajaan China campur tangan dalam kebebasan yang dijanjikan Hong Kong.
China menafikan berbuat demikian dan telah menyalahkan negara-negara Barat kerana mencetuskan masalah di hab kewangan itu.
Protes itu telah menghancurkan ekonomi kota tersebut, sekali gus menyebabkan kemelesetan ekonomi buat kali pertama sejak krisis kewangan pada suku ketiga.
Sektor runcit dan pelancongan paling terjejas kerana bilangan pelancong asing jatuh mendadak.
Difahamkan lebih banyak protes dirancang pada hari ini dan hujung minggu apabila jumlah penunjuk perasaan yang berkumpul bertambah menjadi lebih ramai.