Komersial tanpa batas punca martabat Islam jatuh, kata Kadir

Komersial tanpa batas punca martabat Islam jatuh, kata Kadir

Menyokong pandangan Sultan Perak, Kadir berkata, dalam mendirikan institusi dan kegiatan agama pun, hasrat tersiratnya adalah perniagaan dan keuntungan.

A Kadir Jasin berkata salah satu sebab martabat agama Islam jatuh adalah kerana umat Islam membenarkannya dikomersialkan tanpa batas dan kawalan.
PETALING JAYA:
Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata salah satu sebab martabat agama Islam jatuh adalah kerana umat Islam membenarkannya dikomersialkan tanpa batas dan kawalan.

Menyokong pandangan dilontarkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dua hari lalu dan “setuju dan sokong 100%”, Kadir berkata, dalam mendirikan institusi dan kegiatan agama pun, hasrat tersiratnya adalah perniagaan dan keuntungan.

“Lihat saja kemunculan pelbagai bentuk institusi, barangan dan perkhidmatan yang berjenamakan Islam. Tak salah, tetapi harus ada batas sempadannya.

“Ambil contoh keghairahan semasa mendirikan sekolah hafal Quran yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan.

“Ada ibu bapa amat bangga menghantar anak-anak ke pondok dan tahfiz. Asalkan label Islam, tidak perlu lagi usul periksa,” kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya.

Oleh itu kata Kadir, kesudahannya anak-anak mati di dalam tanah runtuh dan kebakaran, diliwat dan didera sampai mati dan dipaksa menjadi pengemis dan peminta sedekah.

“Setiap kali terjadi kecelakaan, dibuatlah amaran dan janji. Tetapi kegiatan memperdagangkan agama berleluasa kerana pihak berkuasa agama negeri dan persekutuan banyaknya hanya pandai bercakap.

“Tidak perlu diingatkan bahawa sebut sahaja pihak berkuasa agama atau hal-hal berkaitan agama maka ketua mutakhirnya, tidak dapat tidak adalah Raja-raja Melayu,” kata tokoh wartawan negara.

Oleh itu kata Kadir, demi menyelamatkan agama Islam daripada terus diperalat, diperdagang, dipolitik dan dipersendakan, raja-raja Melayu, ulama dan cendekiawan Melayu wajib berpakat dan memikul tanggungjawab menjadikan Islam di Malaysia ini sebagai rahmat.

Khamis lalu, Sultan Nazrin menegur sikap segelintir umat Islam yang mengambil kesempatan – mengambil barang bukan milik mereka – apabila berlaku sesuatu musibah atau kemalangan, menandakan sudah hilangnya “nilai-nilai murni dan prinsip integriti yang luhur”.

Dengan merujuk kepada beberapa insiden sebelum ini, Sultan Nazrin persoal adakah tahap kemiskinan begitu mudarat menyebabkan penduduk di beberapa kampung di negara ini berebut mengambil makanan yang bukan hak mereka daripada kenderaan yang ditimpa kemalangan.

“Jika demikian tahap kemiskinan yang mereka alami, sehingga terlupa hukum halal haram, ternyata ada institusi, termasuk institusi agama yang tidak memenuhi tanggungjawab membantu nasib penduduk yang sedemikian darurat, daif dan miskin.”

Kata Sultan Nazrin, pengalaman dan kisah-kisah lalu sewajibnya dijadikan pedoman dan kompas ketika merangka program agar dapat mengubati apa jua wabak yang ada dalam batang tubuh institusi Islam.

“Institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal-hal ehwal Islam wajib memahami secara mendalam keperluan sebenar agar program yang diperkenalkan dapat memenuhi keperluan ummah dan tidak sekadar berbentuk luaran, ritual dan kosmetik.”

Menurut Kadir, beliau pun hairan bagaimana semakin galak orang Islam Malaysia memperagakan keislaman mereka, semakin luntur pula nilai-nilai murni yang diajar dan dituntut oleh Islam.

Kata Kadir, beliau sering menyebut pertalian Melayu dengan Islam di Malaysia kerana rasanya hanya bangsa Melayu diwajibkan beragama Islam, dan “itu pun hanya di Malaysia”.
“Lantaran itu, jika orang Melayu tidak mengamalkan nilai-nilai murni agama mereka sebaliknya melakukan perkara yang memalukan pastilah nama baik Islam turut terpalit,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.