Warga asing ditemukan maut dipercayai dikelar leher

Warga asing ditemukan maut dipercayai dikelar leher

Mangsa berusia 30an ditemukan di di tangga tingkat empat sebuah asrama pekerja asing di Nilai, malam kelmarin.

johari yahya
Polis masih mengesan suspek untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, menurut Ketua Polis Nilai Johari Yahya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja wanita warga asing ditemukan maut dengan kesan kelar di leher di tangga tingkat empat sebuah asrama pekerja asing di Nilai, Negeri Sembilan malam kelmarin.

Ketua Polis Nilai, Johari Yahya, berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas IPD Nilai menerima panggilan menerusi MERS 999 daripada seorang lelaki tempatan pada 11.21 malam.

Katanya, pengadu memaklumkan seorang wanita warga asing berusia 30-an ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangga tingkat empat asrama berkenaan.

“Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan kelar di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan forensik oleh Bahagian Siasatan Forensik (D10) IPK Negeri Sembilan mendapati terdapat kesan kelar berulang pada leher mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur konflik peribadi atau kewangan berdasarkan keterangan awal yang diperoleh.

“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek juga sedang dikesan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.