
Legasi dan kraf pembuat batu nisan granit menghampiri penghujungnya.
Ini kerana tiada siapa lagi yang ingin mewarisi dan meneruskan kerja tersebut.
Manakan tidak, duduk di sebuah pondok usang kecil terletak di hujung sebuah denai lama, ia berbeza dengan pekerjaan anak muda sekarang yang lebih gemar bekerja di kedai gajet telefon pintar, bangga dan tidak malu.
Namun, Kuah Leong Chan masih sama sejak 40 tahun dulu, menghasilkan ukiran di atas batu sungai dan bukan mengenakan bancuhan simen.

“Hasil tidaklah seberapa, tapi ikhlas sangat penting di dalam hati bila buat kerja,” katanya ringkas kepada FMT.
Setiap hari 6.30 pagi, dia akan berbasikal memasuki hutan tersebut, memahat batu granit sehingga menjadi bentuk batu nisan dan menunggu orang datang membuat tempahan khas untuk si mati.
Berbekalkan ilmu yang diajar oleh bapanya, Kuah yang kini berusia 64 tahun menghasilkan tanda mati hasil sentuhannya tersendiri.
Dan sudah pasti ia mempunyai bentuk berbeza antara jenazah lelaki dan perempuan malah saiz juga berbeza antara kanak-kanak dan dewasa.

Kepekaannya terhadap rencam budaya dan pengetahuan serta kemahiran mendalam terhadap seni ukir batu menjadikannya dia dikenali sebagai seorang pembuat batu nisan tradisional tersohor di Kuala Selangor.
Walaupun dia seorang lelaki berbangsa Cina, ia mengatasi segalanya apabila hanya Kuah sahaja yang masih bertahan daripada empat orang pembuat batu nisan granit pada asalnya, seorang sakit manakala tiga lagi sudah meninggal.
“Moyang saya juga pembuat batu nisan, ini perniagaan yang diwarisi sejak turun temurun, dari mulanya saya memang tak pandai jawi.

“Tapi suka atau tak suka, kita kena buat juga sebab kita bukan keluarga senang, jadi kita kena belajar walaupun jawi itu bukan bahasa saya. Saya suruh mereka tulis atas kertas, kemudian saya akan tulis atas batu nisan. Tapi sekarang ramai yang tidak boleh menulis jawi dan mereka yang minta saya semak lagi sama ada tulisan jawi mereka betul atau tidak,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengapa dia masih meneruskan bidang pekerjaan ini sedangkan banyak lagi pilihan kerja lain, Kuah berkata dia perlu berkorban kerana sebolehnya tidak mahu pekerjaan warisan lima keturunan lenyap begitu sahaja.
“Asalnya dulu moyang saya ukir tempat sembahyang Cina, lepas itu baru bertukar dengan membuat batu nisan sebab di sini ramai orang Melayu. Kalau saya pentingkan diri buat pekerjaan lain, siapa mahu teruskan pekerjaan ini?

“Lagipun saya tahu satu hari nanti tiada siapa yang sanggup duduk di dalam pondok buruk ini untuk memahat batu nisan granit, tetapi jika betul..biarlah ia berakhir di tangan saya sendiri,” katanya lagi.
Sebab itulah juga Kuah berkata dia akan memecahkan batu sungai tersebut dengan gigih bagi menyiapkan tempahan batu nisan yang diminta pelanggan menggunakan peralatan manualnya iaitu tiga bilah pemahat granit berlian yang berbeza “mata”.
“Walau sebesar mana pun batu tersebut, saya akan tetap pecahkan tanpa menggunakan mesin, sebab mana ada mesin yang boleh belah batu sungai. Dalam pembuatannya juga saya guna tenaga sendiri untuk memahat sedikit demi sedikit sehingga menghasilkan bentuk yang diinginkan,” ujarnya.
Jelas Kuah lagi, sepasang batu nisan mengambil masa empat hari untuk disiapkan namun bergantung pada saiz. Dia akan sentiasa memahatnya dan pelanggan boleh mendapatkan batu nisan tersebut selepas sejam tempahan dibuat.

“Nama si mati pun kita akan pahat, kita bukan tulis sahaja mahupun cetak. kita tulis kemudian kita akan pahat mengikut tulisan jawi yang saya telah tulis sebelum itu. Jadi ia tidak akan pudar,” jelasnya.
Meskipun Kuah tahu yang dirinya tidak kuat seperti dulu, namun dia tetap akan menghabiskan riwayatnya untuk berkhidmat kepada orang ramai kerana mungkin hanya dia sahaja pemahat batu nisan granit yang wujud di Malaysia.
“Ramai yang datang dari jauh hanya ingin menempah batu nisan, dari Johor, Kelantan, Indonesia, kerabat Brunei pun ada datang berjumpa dengan saya,” katanya.
Ditanya mengapa Kuah tidak menurunkan segala ilmu kepada anaknya supaya kerja warisan lima keturunan ini tidak akan luput, Kuah mempersoal kembali, “minatkah mereka?”.
Jelas air mukanya sebak menahan kesedihan apabila mengenangkan tiada siapa yang akan mewarisi kemahirannya namun Kuah tetap meletak harapan tinggi agar suatu hari nanti ada insan yang datang berjumpa dengannya untuk belajar cara membuat batu nisan granit.
“Bukan saya tak mahu ajar orang, tapi bila ajar seminggu dua minggu sudah lari, yang paling lama pun dua tahun sahaja kemudian sudah lari juga, macam mana? Saya tahu susah mahu cari orang yang betul-betul minat untuk buat batu nisan granit ini.
“Sekarang semua mahu senang, pakai simen sahaja, nama pun cetak, nampak kemas. tapi tiga ke empat tahun sahaja boleh bertahan, selepas itu kena keluar duit lagi untuk ganti yang baru, untuk apa?” soalnya.

Ini kerana menurut Kuah, batu nisan simen boleh pecah kerana paku di dalamnya yang sudah berkarat sekaligus pelanggan perlu menggantikannya dengan batu nisan yang baru, harganya mencecah RM600 sepasang.
“Ada satu kedai dah nak tutup, dia jual batu nisan simen dan kedai dia dah nak tutup jadi dia nak tolak semua batu nisan simen dia pada saya, dia nak jual RM80 sepasang. Tapi mereka jual pada orang RM600 sepasang. Berapa banyak untung yang mereka dapat?
“Mereka bayar kepada saya paling murah RM200, hanya bayar untuk tenaga saya sahaja, batu nisan granit ini hidup, dia takkan pecah sampai bila-bila. Mereka takkan rugi. tapi saya tak faham kenapa mereka begitu banyak ambil untung dari pelanggan?,” soalnya lagi.
Jelasnya dia bukan ingin mempersoal rezeki masing-masing namun mengapa aspek paling penting dalam kehidupan iaitu kejujuran diketepikan demi kepentingan peribadi.
“Nak ambil untung pun jangan sampai ‘bunuh’ pelanggan, kesian mereka,” katanya lagi.
Jelas Kuah, dia sentiasa akan berpesan kepada pelanggan untuk tidak salah memilih jenis batu nisan kerana dia tidak mahu mereka rugi dua kali untuk membayar pada perkara yang sama.
“Saya nak kerja dengan jujur, duduk bawah pondok buruk pun tak apa, janji saya mati dengan tenang,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]