
Hakim Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga hakim berpendapat hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini ke atas responden, Asmarani Ghazali tidak mencukupi.
Dalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara, Yaacob berkata hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini terkhilaf dalam membuat keputusan apabila menimbang kepentingan responden melebihi kepentingan awam.
Panel yang juga terdiri daripada Hakim Zabariah Mohd Yusof dan P Ravinthran memutuskan Asmarani perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Jun 2018.
Asmarani, 40, dibebaskan dari penjara pada 21 Jun lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara 18 bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas Asmarani.
Beliau menyifatkan tindakan wanita itu yang meletakkan cili hijau ke dalam mulut Muhammad Afif Kamarol Azli yang berusia dua tahun setengah, ketika berada bawah jagaannya, hanya kerana mangsa merengek adalah keterlaluan.
“Kanak-kanak hanya mahukan perhatian kerana dia tidak sihat pada pagi itu,” kata Zain.
Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu kerana tercekik.
Asmarani, yang merupakan ibu kepada tiga anak pada mulanya didakwa atas pertuduhan membunuh namun kemudian ditawarkan pertuduhan alternatif bawah Akta Kanak-kanak kerana menganiaya kanak-kanak dan dia mengaku bersalah atas tuduhan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Tuanku Ja’afar, Seremban, dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri antara 9.30 pagi dan 10 pagi pada 13 Jun tahun lepas.
Mengikut fakta kes, kanak-kanak itu tidak berhenti merengek walaupun dipujuk oleh Asmarani yang kemudian meminta mangsa membuang lampin pakai buangnya ke dalam tong sampah di dapur.
Mangsa melempar lampin itu tetapi dia tidak berhenti merengek kerana dia tidak sihat.
Asmarani kemudian mengeluarkan cili hijau dari peti sejuk, mematahkannya menjadi separuh dan memasukkannya ke dalam mulut kanak-kanak itu untuk membuatnya berhenti merengek.
Selepas melihat kanak-kanak itu sukar bernafas, Asmarani yang ditemani suami dan seorang daripada anaknya, bergegas membawa mangsa ke dua klinik tetapi mereka dinasihat untuk membawa mangsa ke hospital.
Terdahulu, peguam Hanif Hassan yang mewakili Asmarani berhujah hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi adalah bersesuaian, sambil menambah hakim Mahkamah Tinggi mempertimbangkan semua aspek termasuk kenyataan daripada ibu kanak-kanak itu.
Hanif kemudian memberitahu wartawan dia menerima arahan daripada anak guamnya itu untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.