
Panel tiga anggota yang dipengerusikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 6 April sebagai tarikh penghakiman selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanis Hambaly mewakili kerajaan persekutuan, serta peguam David Fung bagi pihak SLS dan Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh yang mewakili kerajaan Sabah.
“Kami tidak akan membuat keputusan hari ini. Kami memerlukan masa yang mencukupi untuk meneliti isu-isu dalam permohonan ini dan bercadang untuk menyampaikan keputusan kami pada Isnin depan,” kata Mohamed Zaini yang bersidang bersama Hakim Ismail Brahim dan K Muniandy.
Sebelum ini, Ahmad Hanir berkata, perayu mengemukakan permohonan untuk mendapatkan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi, kecuali perenggan 2(b) yang berkaitan pengiraan formula 40% di bawah subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, dibaca bersama Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, sehingga rayuan pemohon selesai didengar dan diputuskan.
Menurutnya, perintah interim yang diminta bagi menghentikan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi wajar diberikan mengikut Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman kerana langkah itu penting untuk mengekalkan integriti rayuan serta mengelakkan rayuan menjadi tidak berkesan.
Ahmad Hanir berkata, perayu diarahkan mengadakan semakan semula dengan responden kedua (kerajaan Sabah) berhubung pelaksanaan hak 40% bagi setiap tahun kewangan berturut-turut dari 1974 hingga 2021, yang perlu disiapkan dalam 90 hari dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi pada 17 Okt 2025.
“Rayuan ini membangkitkan isu Perlembagaan yang serius dan signifikan, terutamanya berkaitan tafsiran dan pelaksanaan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, dalam rangka perundangan yang mengawal hubungan kewangan antara Persekutuan dan Negeri. Isu ini perlu diputuskan Mahkamah Rayuan sebelum sebarang tindakan tidak boleh diubah dilakukan berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi.
“Tafsiran dan pelaksanaan Perkara 112D akan menentukan metodologi dan mekanisme yang betul dalam pengiraan Geran Khas sepanjang tempoh dipertikaikan,” katanya.
Ahmad Hanir berkata, perayu kini sedang menjalankan rundingan berterusan dengan kerajaan Sabah berhubung Geran Khas dan ia memerlukan penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan kerajaan persekutuan serta hasil bersih yang diperolehnya daripada Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Sementara itu, Fung pula berpendapat, kerajaan persekutuan memerlukan lanjutan masa daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mempunyai kuasa untuk melakukannya, bukannya memohon penangguhan.
Brenndon pula berkata, perayu sepatutnya mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum membawa kes ke Mahkamah Rayuan.
Pada 17 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan telah bertindak secara menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan dari 1974 hingga 2021.
Mahkamah juga memerintahkan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah supaya menyemak semula kelayakan Sabah terhadap 40% hasil tersebut bagi tempoh 1974 hingga 2021, dengan memberi mereka 90 hari untuk melengkapkan semakan dan 180 hari untuk mencapai persetujuan muktamad.
Keputusan itu dibuat selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh SLS yang mendakwa kedua-dua kerajaan persekutuan dan Sabah telah melanggar tanggungjawab perlembagaan mereka dengan tidak mengkaji pembayaran itu secara sah.
Kes ini menumpukan kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. Perkara 112C berkaitan geran khas dan peruntukan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara 112D memperuntukkan semakan berkala bagi geran tersebut.