Pembangkang dakwa DAP rasis, Dewan Rakyat kecoh

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, semua pihak tidak dibenarkan memberi ucapan berbaur perkauman di sekolah.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh hari ini selepas seorang wakil pembangkang menuduh DAP membuat kenyataan berbaur perkauman.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (PH-Kulai) pada waktu itu menjawab soalan tambahan daripada Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tentang sama ada kerajaan membenarkan ucapan sedemikian dibuat di sekolah.

“Kita tidak membenarkan sesiapa pun memberi ucapan berbaur perkauman di sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menuduh parti diwakili Teo, DAP, membuat ucapan sedemikian.

Berikutan itu Teo mencabar Tajuddin supaya mengemukakan bukti perkara itu, sekali gus memintanya menarik balik kenyataan tersebut.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof juga berkata, kenyataan Tajuddin tidak wajar dan meminta beliau menarik balik dakwaan itu.

Wakil BN lain turut serta dalam kekecohan itu dengan Noh Omar (BN-Tanjung Karang) menuduh Teo mengelirukan Dewan.

Mohamad Ariff kemudian meminta Noh menulis kepadanya dan memberikan fakta bagaimana Teo mengelirukan Dewan.

Berkait soalan Shahar tentang ahli politik melawat sekolah, Teo sebelum itu berkata, semua ahli politik yang dijemput ke sekolah hendaklah mendapat kebenaran bertulis kerana surat pekeliling berhubung perkara itu terpakai ke atas semua orang kenamaan.

Beliau berkata, Kabinet membuat keputusan bagi projek atau program kerajaan persekutuan, wakil kerajaan hendaklah dijemput.

Katanya, kerajaan juga memberi kelulusan kepada pemimpin pembangkang untuk menghadiri acara di sekolah.

“Di Sarawak, kita telah berikan kelulusan kepada GPS dan PBS sebanyak 515 kali. Untuk PH, hanya 170 kelulusan diberikan.

“Apa lagi yang kita mahu?”, soalnya, dengan berkata di Terengganu, 16 kelulusan diberikan kepada pembangkang.