Imigresen tumpas sindiket tipu atas talian babit 680 warga China

Imigresen tumpas sindiket tipu atas talian babit 680 warga China

Kegiatan sindiket disyaki telah berjalan selama ira-kira enam bulan di Cyberjaya.

Sebahagian operator sindiket tipu atas talian warga China melarikan diri berikutan serbuan Jabatan Imigresen di sebuah premis di Cyberjaya semalam.
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket “online scam” melibatkan warga China dalam satu operasi di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya pagi semalam.

Dalam operasi melibatkan 150 orang anggota itu, seramai 680 orang terdiri daripada 603 lelaki dan 77 wanita berusia antara 19 dan 35 tahun ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut selama lebih kurang enam bulan.

Katanya, semasa serbuan dibuat ke atas premis berkenaan yang disewa sekitar RM360,000 sebulan, sebanyak 8,230 unit telefon bimbit, 174 unit komputer riba dan 787 unit komputer peribadi dirampas.

“Untuk makluman, semasa anggota operasi menghampiri kawasan, berlaku provokasi oleh operator ini dan ada antara mereka yang bertindak merempuh dan menyerang anggota Imigresen.

“Dianggarkan seramai 100 orang berjaya melarikan diri dengan merempuh kepungan pegawai Imigresen. Ada di antara mereka tercedera ketika cuba melarikan diri.

“Keadaan bagaimanapun terkawal dengan bantuan daripada JIM Selangor dan JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, siasatan awal mendapati semua yang ditahan tinggal di negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Katanya, mereka gagal menunjukkan pasport dan sehingga kini masih tiada wakil atau individu yang hadir mengemukakan dokumen perjalanan mereka walaupun pihak kedutaan China dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“JIM akan mengesan individu di belakang syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini.

JIM juga akan menyalurkan maklumat berkaitan kepada agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket menyasarkan mangsa di negara China dengan menawarkan keuntungan yang tinggi dan cepat.

Jelasnya, operator terbabit akan menghantar satu kod kepada pelanggan dari laman web tertentu yang menggunakan bahasa China dalam aplikasinya dan semua urus niaga serta pembayaran dilakukan melalui Wechat Pay atau bank di China.

Beliau berkata, JIM melakukan risikan aktiviti itu sejak sebulan lalu hasil aduan awam dan premis yang diserbu itu dipercayai berfungsi sebagai pusat panggilan.

Kawasan premis mempunyai pengawal keselamatan dan di setiap tingkat dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang ketat dengan mereka yang mempunyai kad akses sahaja boleh memasuki premis berkenaan.

“JIM akan terus mengesan saki baki sindiket dengan meneruskan pemantauan dan risikan.

“Kami mengingatkan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.